KUCHING: Sokongan komuniti penting bagi memastikan keluarga mendiang jururawat SN Debra Moset yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram mengetahui bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi kehilangan itu.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil, berkata anak-anak, suami dan seluruh keluarga mendiang masih berdepan trauma akibat tragedi berkenaan.
“Mereka memang mengalami trauma. Suaminya juga sangat terkesan dan seluruh keluarga turut merasainya.
“Namun, apabila mendapat sokongan komuniti dan kerajaan Sarawak, mereka akan tahu bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kampung Semadang, sejurus ketibaan jenazah mendiang Debra di kediaman keluarganya di sini, hari ini.
Menurut Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, sokongan berkenaan diharapkan dapat membantu keluarga mendiang mengharungi tempoh sukar, khususnya dua anaknya yang masih bersekolah.
Katanya, komuniti setempat akan terus bersama keluarga berkenaan dan bersedia membantu sekiranya mereka memerlukan sokongan emosi atau kaunseling pada masa akan datang.
“Kalau mereka memerlukan kaunseling atau apa-apa bantuan berkaitan tekanan emosi, kami akan sentiasa mendekati mereka.
“Kita akan bersama-sama mereka kerana mereka bukan bersendirian dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.
Dr Jerip berkata, tragedi itu turut menyatukan masyarakat Bidayuh apabila penduduk Kampung Semadang dan kampung-kampung berdekatan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.
Katanya, hubungan kekeluargaan antara masyarakat di kawasan berkenaan sangat erat sehingga kehilangan Debra turut dirasai oleh komuniti setempat.
“Ini bukan sahaja tragedi kepada keluarga beliau, tetapi turut dirasai keluarga besar Jabatan Kesihatan, masyarakat Bidayuh dan penduduk di kawasan sekitar.
“Sebab itu penduduk dari kampung jiran turut datang untuk memberikan sokongan dan penghormatan,” katanya.
Sementara itu, Dr Jerip berkata jenazah Debra dijadualkan dikebumikan esok di tanah perkuburan Gereja St Patrick di Kampung Semadang.



