SETIAP kali pilihan raya di Sarawak menghampiri tempoh matang, isu “Dayak” dan “ketidakadilan” akan dibakar menjadi isu dan sentimen.
Ia akan menjadi modal politik, yang kemudian menyebabkan kucar-kacir dalam ekosistem politik Sarawak.
Tentunya, yang membakar sentimen ini adalah pemimpin pembangkang dan dalam konteks ini, dimulakan Dr John Brian Anthony, seorang veteran politik.
Beliau merupakan Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) selepas dipilih pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) parti itu bagi penggal 2025- 2028.
Sebelum itu, Dr Brian pernah bertanding sebagai calon Bebas di kerusi N52 Kemena pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 2001.
Dalam pilihan raya tersebut, beliau hanya mengutip 716 undi dan hilang deposit berbanding 6,830 undi yang dimenangi Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Pada pilihan raya berikutnya, beliau bertanding atas tiket Sarawak National Party (SNAP), juga di N60 Kemena. Kali ini, beliau bertembung satu lawan satu dengan Stephen Rundi.
Dr Brian berjaya membawa pulang 3,178 undi, namun gagal menggugat Stephen Rundi yang memiliki kelebihan majoriti 1,572 undi.
Pada pilihan raya berikutnya, pada tahun 2011, beliau tampil di N42 Meluan atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Namun cubaan itu gagal, apabila tumpas kepada penyandang, Wong Judat yang memperoleh 4,615 undi berbanding Dr Brian 2,973 undi.
Beliau kemudian beralih kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Pernah menjadi perunding hospital di Malaysia, Indonesia dan Singapura, Dr Brian cuba untuk bertanding di Parlimen P217 Bintulu pada Pilihan Raya Umum 2013 kali ini menentang Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing.
Dalam pilihan raya tersebut, beliau tumbang 7,433 undi di belakang Tiong, biarpun merekodkan 19,025 undi.
Pada Pilihan Raya Negeri 2021, Dr Brian yang pernah menjawat Pengerusi Lembaga Pelabuhan Bintulu dari 4 Oktober 2018 hingga 3 Oktober 2020 ketika Pakatan Harapan memerintah, kembali mencabar Stephen Rundi di N69 Kemena atas tiket DAP.
Dalam saingan lima penjuru itu, beliau bukan sahaja kalah kepada Stephen Rundi (GPS) yang mengutip 6,339 undi, malah kalah kepada Bernard Tahim (PSB) yang mendapat 2,728 undi.
Dr Brian hanya membawa pulang 399 undi, menyebabkan beliau hilang deposit.
Dengan rekod 25 tahun tidak pernah menang, biarpun bertukar parti dan memasuki parti besar yang seharusnya memiliki dana yang besar, sudah pasti Dr Brian yang memasuki usia 71 tahun, perlu berfikir 10 kali untuk membuat kejutan.
Apatah lagi jika beliau kembali bertanding di kerusi yang sama, DUN Kemena dan menentang calon yang sama Stephen Rundi.
Ini merupakan percaturan terakhir beliau.
Cuma kali ini, Dr Brian ada tiket besar sebagai Presiden PBDS dan beliau yang menandatangani watikah untuk bertanding.
Lalu, beliau mengumpulkan sedemikian ramai cerdik pandai, cendekiawan, bekas pegawai kerajaan daripada kalangan “Dayak” bagi membantu beliau untuk merampas tampuk demokrasi di Sarawak.
Namun cabaran besar beliau ada dua.
Satu, kewangan.
Ini tidak perlu dihuraikan kerana parti itu tidak hadir dengan sokongan dana yang besar.
Bezanya cukup besar ketika PBDS diwujudkan oleh Tan Sri Leo Moggie ketika berpecah daripada SNAP dahulu.
Keduanya, kerana ketandusan isu.
Pada tahun lalu, Dr Brian dan askar siber PBDS berusaha menanam kebencian dengan menggambarkan kawasan “Dayak” dan pedalaman Sarawak diabaikan.
Malah diberikan perbandingan yang tidak adil dengan kawasan bandar.
Pun begitu usaha itu bagaikan tidak berhasil, kerana rakyat sedar apa yang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) laksanakan.
Rakyat sedar akan kesungguhan Kerajaan Negeri membawa pembangunan ke seluruh negeri, termasuk menyediakan jalan ke kawasan yang dahulunya mustahil untuk dibina seperti Jalan Sibu-Kapit, serta 21 jambatan mega merentas segenap pelosok negeri.
Lebih menyakitkan apabila laluan balak kini mula ditukar kepada jalan negeri, sementara laluan merentasi belantara Baram ke Limbang dan Lawas (Jalan Rangkaian Sabah-Sarawak) sedang dibina.
Usah disentuh inisiatif lain lagi.
Jika hendak menyentuh tentang institusi Islam yang kononnya menjadi anak emas, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan UNIFOR yang ditadbir anak Dayak sendiri dan telah berbelanja puluhan juta ringgit untuk membantu institusi keagamaan dan pelbagai.
Justeru apa lagi isu yang ada?
Satu-satunya adalah berkait penjawat awam, yang kononnya tidak seimbang komposisinya.
Isu ini sebenarnya merupakan siaran ulangan, yang bertujuan membakar perpaduan dan keharmonian yang sedia wujud.
Dr Brian sendiri sedar, jika beliau berjaya membakar sentimen ini, dan menitip nilai kebencian, parti PBDS boleh melakukan selitan, sekurang-kurangnya menempatkan calon tunggal mereka dalam DUN Sarawak.
Benarkah Kerajaan Sarawak menganaktirikan masyarakat Dayak?
Dari segi politik, kompisisi sekarang sebenarnya adalah yang terbaik. Semua kaum diwakili dari sudut pentadbiran Kerajaan Sarawak terutama di kerusi Timbalan Premier.
Malah kerusi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sebelum Tan Sri Abu Bakar Marzuki menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, jawatan itu disandang Tan Sri Jaul Samion.
Lalu di manakah ketidakadilannya?
Beberapa jawatan kanan dan strategik negeri, juga dipegang oleh pemimpin Dayak seperti Datu Dr Cassidy Morris di Jabatan Kerja Raya dan Datuk Janin Girie sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Bhd.
Malah ada dua wakil GPS yang menganggotai Kabinet Persekutuan adalah berketurunan Iban.
PBDS dan Dr Brian sedar, dalam politik, isu-isu perkauman ini adalah “petrol” yang paling mujarab untuk membakar. Namun jika tertumpah, ia juga boleh membakar diri.
Yang dikhuatir, ia akan membakar komuniti Dayak sendiri. PBDS ada pilihan untuk bermain isu lain.
Ada pilihan untuk menggunakan cara lain bagi melengkapkan proses demokrasi.
Seharusnya mereka tidak hanya memikir serakah sendiri, sebaliknya bersama-sama mengayuh bahtera Sarawak untuk jauh meluncur ke depan.
Membangunkan Sarawak dengan cara sendiri, dan tidak lagi terkongkong oleh tekanan Persekutuan seperti berdekad sebelum ini.
Jika masih bermain seperti ini, risikonya adalah di atas Dr Brian dan PBDS sendiri.
Mungkin mereka akan dirai dan dipuji oleh segelintir, namun terbenam dalam sejarah sebagai golongan rasis, ketika anak Sarawak dapat main bersama, makan bersama dan cari amoi bersama.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.



