KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju melantik Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib untuk menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Korporat UNIMAS menerusi kenyataan berkata, lantikan tersebut berkuat kuasa pada 8 Januari lalu hingga urusan pelantikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dimuktamadkan.
Katanya, jawatan tersebut sebelum ini telah dijawat oleh Profesor Dr Ahmad Hata Rasit yang kini telah dilantik sebagai Naib Canselor UNIMAS berkuat kuasa pada 8 Januari lalu.
“UNIMAS mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan dan jasa bakti Ahmad Hata dalam perancangan serta pembangunan akademik dan pengantarabangsaan UNIMAS sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS sejak 1 Mei 2019,” katanya dalam kenyataan yang telah dimuat naik menerusi media sosial Facebook.
Untuk rekod, Noor Linda kini juga menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS.



