MIRI: Kemahiran yang diperoleh melalui pertandingan melibatkan dron berpotensi menjadi asas kepada pembangunan sistem penghantaran bekalan perubatan dan barangan keperluan penting ke kawasan pedalaman Sarawak pada masa hadapan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, golongan muda perlu melihat teknologi dron bukan sekadar sebagai hobi atau aktiviti pertandingan, sebaliknya sebagai bidang yang berpotensi dimanfaatkan untuk menyelesaikan cabaran sebenar, khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik.

Menurutnya, pengendalian dron memerlukan penguasaan pelbagai kemahiran teknikal termasuk memahami fungsi peralatan, mengawal pergerakan, mengekalkan kestabilan serta membuat keputusan dengan pantas.
“Untuk mengendalikan dron dengan baik, peserta perlu memahami cara peralatan berfungsi, mengawal pergerakan, mengekalkan kestabilan dan membuat keputusan dengan cepat,” katanya pada majlis perasmian Drone Racing Challenge 2026 anjuran Kolej Vokasional Miri di Permyjaya, di sini, hari ini.
Lee berkata, peserta juga perlu menguasai aspek penyelenggaraan, penyelesaian masalah teknikal dan keselamatan penerbangan yang berkait rapat dengan bidang elektronik, pengaturcaraan, robotik serta kejuruteraan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar mendalami teknologi di sebalik pengendalian dron, termasuk sistem kawalan dan pengaturcaraan, supaya kemahiran itu dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan tugasan tertentu.
“Mungkin suatu hari nanti, ada antara anda yang terlibat dalam membangunkan sistem penghantaran dron untuk kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Lee berkata, sebelum ini Kementerian Pengangkutan Sarawak meneroka pembangunan ekonomi altitud rendah atau Low Altitude Economy (LAE), termasuk potensi penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) dalam sektor pengangkutan serta logistik.
Menurutnya, teknologi berkenaan berpotensi digunakan untuk menghantar ubat-ubatan, bekalan perubatan, sampel makmal dan barangan keperluan penting ke kawasan pedalaman yang mempunyai akses pengangkutan terhad.
“Kawasan seperti Long Banga, Long Seridan, Bario dan Ba’kelalan mempunyai bentuk muka bumi berbukit menyebabkan sesetengah penempatan memerlukan perjalanan jauh melalui jalan darat atau sungai untuk mendapatkan bekalan dan perkhidmatan tertentu,” katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata beberapa aspek perlu diteliti sebelum teknologi dron dapat digunakan secara lebih meluas, termasuk keselamatan penerbangan, peraturan ruang udara, kapasiti muatan, jarak penerbangan dan kos operasi.
“Sementara itu, institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) seperti Kolej Vokasional Miri memainkan peranan penting dalam melengkapkan pelajar dengan pengetahuan teknikal serta kemahiran praktikal yang diperlukan industri.
“Saya berharap institusi berkenaan terus memperluas pendedahan kepada teknologi baharu termasuk dron, automasi dan robotik di samping memperkukuh kerjasama dengan industri bagi menyediakan tenaga kerja tempatan yang mampu merebut peluang dalam sektor teknologi yang sedang berkembang,” katanya.



