SIBU: Sarawak bersedia memainkan peranan lebih besar dalam membantu Malaysia keluar dari perangkap pendapatan sederhana dengan membangunkan industri berteknologi tinggi, termasuk semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan maju.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Malaysia perlu beralih daripada sebuah negara yang hanya menggunakan teknologi kepada sebuah negara yang mampu mencipta dan membangunkan teknologi sendiri seperti Korea Selatan.
“Mengapa Malaysia sekarang masih terperangkap dalam (status) negara berpendapatan sederhana?
“Kita tidak pernah naik, Vietnam sekarang sudah tinggi daripada Malaysia, saya fikir satu-satunya penyebabnya ialah kita tidak mencipta teknologi, kita hanya menggunakan teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan tetamu kehormat lain.
Abang Johari menambah, perkembangan Korea Selatan yang berjaya membina industri teknologi berdaya saing, termasuk menerusi syarikat seperti Samsung, menunjukkan kepentingan inovasi dalam melonjakkan kedudukan ekonomi sesebuah negara.
“Korea (Selatan) dulu belakang kita (Malaysia), tetapi sekarang mereka sudah di hadapan kerana mereka mengeluarkan teknologi sendiri,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh kemajuan Vietnam yang kini menunjukkan perkembangan ekonomi, sambil mempersoalkan berapa lama Malaysia mahu kekal dalam kelompok negara berpendapatan sederhana tanpa perubahan besar dalam keupayaan mencipta teknologi sendiri.
Justeru, Abang Johari menegaskan, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber air dan tenaga boleh baharu yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong industri berteknologi tinggi, terutama kerana sektor berkenaan memerlukan bekalan tenaga stabil serta air bagi sistem penyejukan.
“Kalau Sarawak mempunyai banyak sungai, kita bersihkan dan rawat air untuk tenaga hijau serta sistem penyejukan bagi industri pembuatan berteknologi tinggi,” katanya.
Menurutnya, kelebihan sumber semula jadi itu perlu disokong penggunaan teknologi moden supaya Sarawak bukan sekadar membekalkan tenaga, malah mampu membangunkan industri bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada Malaysia dan pasaran global.
Beliau berkata, Sarawak juga berhasrat meneroka bidang baharu seperti ekonomi angkasa lepas, termasuk pembangunan satelit nano menjelang 2030, sambil mengakui bahawa usaha berkenaan memerlukan keberanian untuk mencuba serta kesungguhan jangka panjang.
“Ada orang kata Abang Jo terlalu bercita-cita tinggi, tetapi kita mesti mencuba. Anak Sarawak jangan sekali-kali berundur, kita terus berusaha,” ujarnya.
Oleh itu, beliau memberitahu, pembangunan modal insan menjadi keutamaan termasuk melalui inisiatif pendidikan tinggi percuma untuk anak Sarawak bagi melahirkan generasi berkemahiran yang mampu menguasai teknologi dan mencipta inovasi sendiri, sekali gus menyumbang kepada kemajuan Malaysia.



