ARTIKEL

Lee pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan anjuran Klinik Kesihatan Tudan di Miri, hari ini.

Klinik Kesihatan Tudan terima 1,100 pesakit sehari, tapak baharu dicari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebuah klinik kesihatan baharu dicadangkan dibina di Permyjaya, di sini, bagi mengurangkan kesesakan di Klinik Kesihatan Tudan yang kini menerima kira-kira 1,100 pesakit sehari, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah kemudahan rawatan.

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, kapasiti Klinik Kesihatan Tudan semakin terhad berikutan peningkatan jumlah pesakit dari tahun ke tahun, manakala kawasan sedia ada tidak mempunyai ruang mencukupi untuk pembesaran bangunan.

“Sekarang Klinik Kesihatan Tudan menerima lebih 1,000 pesakit sehari. Jumlah ini sangat tinggi berbanding beberapa ratus pesakit ketika awal operasinya dahulu.

“Malangnya, kawasan klinik ini tidak mempunyai ruang lagi untuk diperluas. Sebab itu saya mencadangkan supaya kita mencari tapak baharu bagi membina sebuah lagi klinik kesihatan, mungkin di Permyjaya,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Kesihatan anjuran Klinik Kesihatan Tudan, di sini, hari ini.

Menurutnya, cadangan pembinaan klinik baharu itu telah dibincangkan dengan pihak kesihatan dan memerlukan penelitian lanjut bagi mengenal pasti tapak yang sesuai, khususnya di Permyjaya yang mempunyai kira-kira 20,000 unit rumah.

“Saya sudah membincangkan perkara ini dengan pihak berkaitan dan berharap Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dapat mengemukakan keperluan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita perlu menyediakan kemudahan tambahan supaya penduduk tidak terus berdepan kesesakan apabila mendapatkan rawatan pesakit luar,” jelasnya.

Mengimbas sejarah pembinaan Klinik Kesihatan Tudan, beliau berkata, projek itu antara kemudahan awam yang diperjuangkannya ketika penggal pertama sebagai ADUN Senadin bagi memenuhi keperluan penduduk yang dipindahkan dari kawasan setinggan sekitar Miri.

Menurutnya, beliau sendiri terlibat dalam usaha mendapatkan tapak pembinaan klinik berkenaan yang pada asalnya kawasan belukar, sebelum projek itu mendapat kelulusan hasil kerjasama dengan pihak kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa program kesihatan komuniti diperluas ke kawasan perumahan, kampung dan balai raya bagi meningkatkan kesedaran penduduk mengenai penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit.

“Pendekatan turun padang membolehkan petugas kesihatan menyampaikan pendidikan, menjalankan pemeriksaan asas dan memberikan nasihat secara langsung kepada masyarakat, termasuk kanak-kanak serta warga emas.

“Kita tidak sepatutnya menunggu sehingga orang ramai jatuh sakit sebelum mereka datang mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang boleh membawa kepada komplikasi kesihatan serius.

Berdasarkan pengalamannya menubuhkan dan mempengerusikan pusat dialisis Persatuan Bulan Sabit Merah di Miri, beliau memahami kesan penyakit berkenaan, khususnya diabetes yang menjadi antara faktor utama masalah buah pinggang dalam kalangan pesakit dialisis.

Beliau turut memuji penganjuran Karnival Kesihatan Klinik Kesihatan Tudan yang diadakan buat kali pertama kerana berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat melalui aktiviti pendidikan kesihatan dan pemeriksaan.

“Saya berharap lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan dengan penglibatan aktif petugas kesihatan dan komuniti.

“Matlamat kita bukan sekadar menyediakan rawatan apabila seseorang jatuh sakit, tetapi membantu masyarakat menjalani kehidupan lebih sihat supaya penyakit dapat dicegah lebih awal,” katanya.

BERITA LAIN

Sungai Sarawak berpotensi jadi pemacu ekonomi baharu

SIBU: Sarawak berpotensi menjadikan sumber air sebagai pemacu ekonomi baharu menerusi pembangunan Koridor Sungai yang menghubungkan keperluan tenaga hijau, industri berteknologi tinggi dan keterjaminan makanan.

BERITA TERBARU

Sungai Sarawak berpotensi jadi pemacu ekonomi baharu

SIBU: Sarawak berpotensi menjadikan sumber air sebagai pemacu ekonomi baharu menerusi pembangunan Koridor Sungai yang menghubungkan keperluan tenaga hijau, industri berteknologi tinggi dan keterjaminan makanan.