SIBU: Sarawak berpotensi menjadikan sumber air sebagai pemacu ekonomi baharu menerusi pembangunan Koridor Sungai yang menghubungkan keperluan tenaga hijau, industri berteknologi tinggi dan keterjaminan makanan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sungai bukan sekadar sumber kehidupan masyarakat, sebaliknya mempunyai nilai strategik dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri dan negara.
Menurutnya, kekayaan sumber air Sarawak perlu dimanfaatkan melalui teknologi moden, khususnya untuk menjana tenaga boleh diperbaharui yang semakin penting dalam memenuhi keperluan industri masa depan.
“Kita bersyukur kerana Sarawak mempunyai banyak sungai. Jika kita menjaga dan membersihkan sumber air ini, kita bukan sahaja dapat menjana tenaga hijau, malah menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan tetamu kehormat lain.
Abang Johari turut berkata, sumber air dan tenaga bersih berpotensi menyokong pembangunan industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan maju yang memerlukan bekalan tenaga yang stabil serta air untuk sistem penyejukan.
Beliau menambah, potensi itu perlu diterjemahkan kepada pembangunan industri bernilai tinggi supaya Sarawak bukan sekadar membekalkan sumber tenaga, malah mampu menghasilkan teknologi sendiri dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia.
Dalam sektor pertanian pula, beliau berkata, penggunaan teknologi pengurusan air, termasuk sistem takungan dan kitaran penggunaan air, berpotensi menyokong usaha meningkatkan pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negeri.
Beliau menegaskan, pembangunan berasaskan sungai perlu dilaksanakan secara seimbang dengan pemuliharaan alam sekitar, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kelestarian alam sekitar.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, Sarawak akan terus meneroka penggunaan teknologi baharu bagi memaksimumkan manfaat sumber air untuk tenaga, pertanian dan industri, sekali gus menjadikan sungai sebagai aset strategik pembangunan ekonomi negeri untuk jangka panjang.
Mengenai pemuliharaan sungai, Abang Johari menjelaskan ia bukan sekadar tanggungjawab menjaga alam sekitar, malah berpotensi meningkatkan hasil perikanan dan pendapatan masyarakat setempat.
Beliau menambah, sungai yang bersih dan terpelihara penting bagi memastikan ekosistem akuatik terus berkembang, sekali gus menyokong kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sumber perikanan air tawar.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, pengalaman di Batang Lupar, khususnya selepas pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau, menunjukkan bagaimana pembangunan infrastruktur berpotensi memberikan kesan positif terhadap ekosistem sungai.
Jambatan berkenaan mempunyai 32 tiang dan berdasarkan pemerhatian yang dikongsikan beliau, pembinaannya dikaitkan dengan peningkatan jumlah ikan terubuk di kawasan berkenaan.
Menurutnya, struktur tiang jambatan berkemungkinan menyediakan habitat dan sumber makanan yang membantu perkembangan ikan, termasuk pada peringkat awal sebelum menjadi terubuk.
Beliau turut menyentuh perkembangan di Batang Lassa, di mana pembinaan jambatan dikatakan membantu mengurangkan penggunaan bot berenjin sangkut, sekali gus berpotensi mengurangkan pencemaran minyak di sungai.
“Sungai yang bersih bukan sahaja membantu mengekalkan populasi ikan, malah menyokong kegiatan perikanan dan ekonomi penduduk yang tinggal di sepanjang sungai,” ujarnya.



