ARTIKEL

Johnny Pang berucap merasmikan Ceramah Jenayah Siber dan Jenayah Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Bintulu dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) di sebuah hotel di Bintulu pada Sabtu.

Jenayah seksual bukan sekadar statistik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerjasama masyarakat penting dalam mencegah jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak, selain memastikan mangsa mendapat perlindungan serta sokongan sewajarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, berkata setiap kes jenayah seksual bukan sekadar angka statistik, sebaliknya membabitkan mangsa dan keluarga yang mungkin menanggung kesan emosi serta sosial dalam tempoh yang panjang.

Menurutnya, kanak-kanak perlu diberikan pendidikan bersesuaian dengan usia mengenai batas tubuh, sentuhan tidak wajar serta cara mendapatkan bantuan daripada orang dewasa yang dipercayai.

Katanya, ibu bapa, guru dan masyarakat juga bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat supaya kanak-kanak berani berkongsi pengalaman atau mendedahkan perkara yang menimbulkan kebimbangan.

“Apabila seorang kanak-kanak berani bercakap tentang sesuatu yang berlaku kepada mereka, kita sebagai orang dewasa mesti tahu bagaimana untuk bertindak.

“Dengar, lindungi dan dapatkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ceramah Jenayah Siber dan Jenayah Seksual Terhadap Wanita dan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Cawangan Bintulu dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Johnny Pang turut menegaskan bahawa wanita yang menjadi mangsa gangguan atau keganasan seksual perlu diberikan sokongan dan perlindungan, bukannya dipersalahkan atas kejadian yang menimpa mereka.

Beliau berkata, tahap keselamatan sesebuah masyarakat bukan hanya diukur berdasarkan kadar jenayah yang rendah, tetapi juga menerusi keupayaan mangsa mendapatkan bantuan serta keyakinan mereka bahawa keselamatan dan kebajikan sentiasa diberikan perhatian.

Sehubungan itu, beliau berharap program berkenaan dapat meningkatkan pengetahuan peserta mengenai langkah pencegahan jenayah, khususnya jenayah siber dan jenayah seksual, selain menggalakkan mereka menyebarkan maklumat yang diperoleh kepada keluarga serta komuniti setempat.

Beliau turut menggalakkan peserta memanfaatkan sesi soal jawab bersama pihak polis dan penceramah bagi mendapatkan penjelasan mengenai keselamatan digital, pencegahan jenayah seksual serta saluran bantuan yang tersedia.

“Usaha mencegah jenayah memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh diserahkan kepada pihak polis semata-mata bagi membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, prihatin dan selamat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU