ARTIKEL

Wanita hamil dan pesakit jantung antara 38 warga Indonesia yang dipindahkan ke negara asal Khamis lalu.

38 warga Indonesia dipindahkan melalui ICQS Tebedu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Seorang wanita hamil dan seorang pesakit jantung adalah antara 38 warga Indonesia yang dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Khamis lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, pemindahan itu melibatkan 21 lelaki dan 14 wanita, selain tiga lagi Orang Yang Dipindahkan (OYD) yang memerlukan perhatian kesihatan khusus.

Menurut kenyataan itu, tiga individu berkenaan terdiri daripada seorang pesakit dari Hospital Serian, seorang pesakit jantung yang mempunyai masalah kesihatan serta seorang wanita hamil.

“Operasi pemindahan melalui jalan darat itu diketuai Komandan Depot Imigresen Semuja dengan kekuatan enam pegawai dan anggota pengiring,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan berkenaan, pergerakan OYD menggunakan kenderaan jabatan serta sebuah bas sewaan, dengan diiringi sebuah kereta polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Menurut kenyataan itu, sepanjang operasi berkenaan, aspek keselamatan dan kebajikan semua OYD, khususnya mereka yang mempunyai keperluan kesihatan, diberikan perhatian.

“Kesemua 38 OYD kemudian selamat diserahkan kepada pihak Perwakilan Indonesia melalui Musa Derek Sairwona selaku Kepala Konsuler Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kuching,” kata kenyataan itu.

JIM Sarawak memaklumkan, keseluruhan proses pemindahan dan penyerahan dilaksanakan dengan baik, selamat serta terkawal.

Jabatan itu turut memaklumkan komitmennya untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan dan pengurusan imigresen secara profesional, berintegriti serta berpandukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU