ARTIKEL

Lee meninjau Program Jualan Rahmah MADANI di Vista Perdana, Miri, hari ini.

Jualan Rahmah MADANI diperluas ke kawasan perumahan, kampung sekitar Senadin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Program Jualan Rahmah MADANI yang dilaksanakan secara berkala di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin sejak lebih dua tahun lalu akan terus diperluas ke kawasan perumahan dan kampung bagi membantu penduduk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.

Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata program itu akan diteruskan di lokasi berbeza setiap bulan susulan sambutan menggalakkan daripada penduduk, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

“Saya sudah menganjurkan program ini di kawasan Senadin selama lebih dua tahun dan sambutannya sentiasa menggalakkan, terutama dalam kalangan golongan B40 dan M40.

“Kita akan terus membawanya ke kawasan perumahan dan kampung lain kerana program ini membolehkan penduduk membeli barangan keperluan harian termasuk beras, minyak masak dan telur dengan potongan harga kira-kira 30 peratus,” katanya ketika ditemui pada Program Jualan Rahmah MADANI di Vista Perdana, di sini, hari ini.

Menurutnya, program yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu sebelum ini diadakan di beberapa lokasi termasuk Jalan BDC, Hill Park Garden, Tudan, Desa Senadin, Permai Jaya, Vista Perdana dan kawasan kampung sekitar Senadin.

“Kita membawa pasar raya bergerak terus ke kawasan perumahan. Penduduk hanya perlu datang ke lokasi berhampiran rumah masing-masing untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga istimewa.

“Ini bukan sahaja memudahkan urusan mereka, malah membantu meringankan beban kos sara hidup,” jelasnya.

Mengulas penganjuran di Vista Perdana, beliau berkata program itu julung kali dilaksanakan di kawasan berkenaan dengan memanfaatkan gelanggang bola keranjang di taman rekreasi mini yang baru siap dibangunkan.

“Sambutan di sini sangat baik apabila banyak barangan sudah habis dijual walaupun belum pukul 11 pagi.

“Justeru, dua lagi program serupa dijadualkan berlangsung di gelanggang bola keranjang di Permai Jaya, manakala pada 29 November di perkarangan Gereja Holy Spirit.

“Kita akan terus memilih lokasi yang sesuai termasuk kawasan perumahan, gereja, surau dan masjid supaya kemudahan ini dapat dinikmati lebih ramai penduduk,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU