KUCHING: Sarawak bukan sekadar kaya dengan biodiversiti, malah turut mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah sains dunia menerusi penyelidikan ahli naturalis Alfred Russel Wallace pada abad ke-19.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejarah penyelidikan Wallace di Sarawak serta pertukaran idea saintifiknya dengan Charles Darwin ialah sebahagian daripada warisan yang wajar diketengahkan kepada masyarakat antarabangsa.

“Perlu diingat bahawa Charles Darwin, dengan teori asal usul spesiesnya, bekerjasama dengan Alfred Russel Wallace. Wallace pula berada di Sarawak untuk mengkaji rama-rama.
“Berlaku pertukaran idea antara Wallace dengan Charles Darwin dan inilah yang kita panggil sebagai monumen saintifik. Tapaknya berada di Sarawak, sebahagian daripada kepulauan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.
Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai sejarah panjang dari segi budaya dan warisan yang menghubungkan negeri ini dengan dunia, termasuk pengalaman masyarakatnya mengekalkan keharmonian meskipun terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan kepercayaan.
Katanya, kepelbagaian itu boleh difahami menerusi gambaran anak sungai yang membawa aliran air dengan warna berbeza sebelum bercantum menjadi satu sungai utama dan akhirnya mengalir ke laut.
Beliau berkata, sama seperti anak-anak sungai yang membawa warna masing-masing sebelum bercantum menjadi satu aliran, masyarakat Sarawak juga mempunyai latar belakang etnik dan budaya berbeza, tetapi dapat membentuk identiti bersama.
“Teori inilah yang kita ada di Sarawak. Kita mempunyai pelbagai kumpulan etnik dengan latar belakang budaya masing-masing, tetapi semuanya bergabung dan menghasilkan apa yang kita panggil budaya Sarawak serta visi Sarawak.
“Sehinggakan wujud keharmonian dalam kalangan kita, walaupun terdapat perbezaan dari segi kepercayaan dan latar belakang kaum,” katanya.
Menurutnya, keharmonian yang terbina daripada kepelbagaian itu ialah pengalaman Sarawak yang boleh dikongsi dengan masyarakat antarabangsa, selaras dengan matlamat memelihara warisan dan membina dunia yang aman.
Abang Johari berkata, pemeliharaan warisan juga tidak seharusnya terhad kepada hubungan sesama manusia, sebaliknya perlu mengambil kira alam sekitar dan kelestariannya.
Katanya, pendekatan pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) berteraskan tiga tonggak, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak mempunyai khazanah warisan semula jadi dan budaya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk Taman Negara Gunung Mulu dan Kompleks Gua Niah, selain Kuching yang diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark.
“Ini semua ialah monumen yang perlu kita wariskan dan kita berharap ICOMOS dapat menyampaikan kepentingan serta nilai monumen dan tapak ini kepada generasi baharu, termasuk penemuan saintifik di rantau ini,” katanya.
Beliau berharap perhimpunan yang menghimpunkan delegasi dari 109 negara itu dapat memperluas perkongsian pengetahuan mengenai warisan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara khazanah dunia untuk generasi akan datang.
Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan; Presiden ICOMOS, Dr Teresa Patricio; Presiden Petra National Trust, Naib Presiden Kumpulan Serantau Negara Arab ICOMOS Antarabangsa dan Duta Muhibah UNESCO bagi Warisan Budaya, Puteri Dana Firas dari Jordan; Pemerhati Tetap Takhta Suci Vatican ke UNESCO, Monsignor Roberto Campisi; serta Presiden ICOMOS Malaysia, Faisal Abdul Rahman.





