KESELAMATAN selebriti Bollywood kembali menjadi perhatian apabila pelakon Tiger Shroff dilaporkan menjadi sasaran serangan bersenjata ketika berada di dalam sebuah kereta di Mumbai, India, malam Ahad lalu.
Tiger, 36, terselamat daripada kecederaan akibat peluru dalam kejadian yang menyaksikan beberapa individu tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah kereta BMW yang dinaikinya.
Bagaimanapun, terdapat laporan bahawa pelakon itu mengalami kecederaan ringan akibat serpihan kaca, manakala pemandunya cedera akibat tembakan.
Lebih mengejutkan, dua individu yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan samseng Lawrence Bishnoi, dikenali sebagai Anil Pandit dan Harman Sandhu, dilaporkan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu menerusi media sosial.
Menurut laporan, serangan berkenaan didakwa mempunyai kaitan dengan hubungan Tiger dengan pelakon Bollywood, Salman Khan, yang sebelum ini turut menerima ancaman daripada kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, motif sebenar kejadian serta pelibatan kumpulan terbabit masih belum dapat dipastikan dan tertakluk pada siasatan pihak berkuasa.
Dalam kejadian antara jam 7.00 dengan 7.30 malam itu, Tiger dilaporkan sedang meninggalkan kawasan Pushpa Park di Juhu apabila kereta BMW yang dinaikinya menjadi sasaran tembakan.
Beberapa individu dipercayai melepaskan tembakan ke arah kenderaan berkenaan sebelum melarikan diri dengan motosikal, sekali gus mencetuskan detik cemas kepada pelakon itu dan individu yang bersamanya.
Pemandu kereta berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan dan dibawa ke Hospital Nanavati untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Insiden itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan selebriti Bollywood, khususnya susulan beberapa ancaman dan serangan yang dikaitkan dengan kumpulan jenayah terhadap individu dalam industri hiburan.
Polis Mumbai mengesahkan bahawa Tiger terselamat daripada kecederaan akibat peluru dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat.
Pihak berkuasa turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pergerakan suspek serta motif di sebalik serangan berkenaan.
Dakwaan pengakuan tanggungjawab oleh individu yang dikaitkan dengan kumpulan Lawrence Bishnoi turut menjadi perhatian penyiasat.
Bagaimanapun, identiti pihak yang mengarahkan serangan serta kaitannya dengan kumpulan berkenaan masih memerlukan pengesahan rasmi.
Buat masa ini, siasatan pihak berkuasa dijangka dapat menjelaskan sama ada serangan tersebut benar-benar mempunyai kaitan dengan ancaman terhadap Salman atau berpunca daripada faktor lain.




