KUALA LUMPUR: Pelakon Fadlan Hazim menjalani latihan selama 24 jam bersama anggota VAT 69 Komando sebagai persediaan penting untuk memegang watak Sarjan Apot dalam filem aksi ketenteraan Takluk 2: Op Daulat.
Menurut Bernama, pelakon berusia 34 tahun itu, atau nama penuhnya Fadlan Hazim Anuwar, mengakui latihan tersebut memberinya gambaran lebih dekat tentang tuntutan fizikal dan disiplin anggota komando.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran utamanya ialah menyesuaikan diri dengan topi keselamatan dan rompi perisai yang beratnya mencecah 10 kilogram, selain belajar mengendalikan senjata dan teknik menembak.
Selepas majlis prapelancaran filem itu di Wisma Pertahanan, Fadlan menganggarkan latihannya hanya sekitar 60 peratus daripada latihan sebenar anggota komando, namun beliau semakin menghargai ketahanan dan pengorbanan mereka yang bertugas hingga 16 jam sehari semasa penggambaran.
Sementara itu, Datuk Eman Manan menegaskan aspek intelektual, emosi dan fizikal perlu seiring untuk menghidupkan watak, manakala filem arahan Zulkarnain Azhar yang diinspirasikan daripada insiden pencerobohan Lahad Datu dan Operasi Daulat pada 2013 dijadualkan ditayangkan pada 26 November.






