PENGANJURAN Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10, 2026 bukan sahaja memberikan peluang kepada peserta untuk membuktikan keupayaan masing-masing.
Kejohanan ikonik Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) ini turut bertujuan mengenal pasti atlet baharu yang berbakat yang boleh diketengahkan ke pentas lebih berprestij, termasuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.
Presiden PMNS, Jumaat Ibrahim berkata, penganjuran kejohanan setiap tahun sememangnya menjadi antara usaha persatuan itu mencari dan mengenal pasti atlet baharu berbakat.

Menurut Jumaat, kejohanan itu merupakan langkah awal pihaknya untuk mencari atlet berpotensi yang boleh digilap untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, selain membentuk skuad bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028.
“Objektif asal kita adalah untuk mencari atlet berbakat yang boleh dijadikan aset bagi membentuk skuad untuk menghadapi SUKMA 2028 nanti,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Jumaat mengaku pihaknya mempunyai badan penilai yang menilai prestasi setiap atlet yang mengambil bahagian sepanjang kejohanan selama tiga hari, dari 16 hingga 18 Oktober lalu yang berlangsung di Naim Street Mall Paragon, Bintulu.
Beliau percaya terdapat atlet baharu yang berpotensi dikenal pasti menerusi kejohanan tersebut.
“Kelab-kelab tempatan yang bertanding dalam kejohanan itu diharapkan mempertaruhkan atlet muda berbakat. Oleh itu, kelebihan tersebut dimanfaatkan sebaik-baiknya,” tambahnya.
Kejohanan Muay Thai Piala Premier Sarawak Edisi Ke-10 2026 dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Naim Street Mall Paragon, Bintulu serta rakan strategik yang lain.

Hampir 300 atlet muay Thai tempatan dan antarabangsa menyertai kejohanan itu, yang menyaksikan penyertaan 29 kelab dari enam negeri dan lapan negara.
Enam negeri yang mengambil bahagian ialah Sarawak selaku tuan rumah, Sabah, Terengganu, Selangor, Pahang dan Johor.
Sementara itu, penyertaan antarabangsa melibatkan atlet dari Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Yaman, Iran, Sepanyol, Colombia dan Syria, termasuk atlet muay Thai berpengalaman.
Selain menyajikan pertembungan sengit dalam pelbagai kategori, daripada amatur hingga kepada profesional, edisi kali ini turut diwarnai pelbagai acara sampingan, termasuk persembahan seni bela diri yang menampilkan pertunjukan silat oleh kelab-kelab tempatan dengan penyertaan 130 peserta.
Acara lain termasuk pertandingan dart, lastik dan e-sukan yang menghimpunkan 400 peserta secara keseluruhan.
Sementara itu, kehebatan pasukan Muaythai Kenyalang nyata sukar ditandingi apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas meraih 20 pingat emas.
Pasukan itu mengatasi dua pencabar terdekat, iaitu Sting Muaythai Club yang menduduki tempat kedua dengan 10 pingat emas. Lion Muaythai Miri pula menduduki tempat ketiga selepas meraih lapan pingat emas.
Kejayaan itu merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Muaythai Kenyalang selepas turut muncul juara pada 2025. Kelab itu dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman luas, Iswandy Bohlassan.
Kejayaan itu turut mengukuhkan kedudukan kelab yang berpangkalan di Kuching itu sebagai antara pasukan disegani ketika ini.

“Syabas dan tahniah kepada semua atlet yang berjaya memastikan Muaythai Kenyalang sekali lagi bergelar juara keseluruhan.
“Usaha gigih dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh semua atlet selama ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini,” kata Iswandy.
Beliau berharap barisan atlet kendaliannya dapat mengekalkan momentum kejayaan tersebut.
“Sesungguhnya, kita berharap atlet sedia ada dapat mengekalkan prestasi terbaik mereka.
“Hal ini bukan sahaja dapat dijadikan penanda aras untuk menghadapi kejohanan akan datang, malah menjadi pencetus kepada transformasi sukan muay Thai di Sarawak,” katanya.





