BINTULU: Aspek keselamatan dan disiplin murid perlu diberikan perhatian serius seiring usaha meningkatkan kecemerlangan akademik bagi memastikan sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif untuk pembelajaran.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa berkata insiden keganasan membabitkan murid di sekolah sejak kebelakangan ini, termasuk kejadian di Kuching, baru-baru ini menjadi peringatan tentang kepentingan memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Beliau berkata pihak sekolah perlu memperketat langkah keselamatan, termasuk melaksanakan pemeriksaan mengejut secara bersesuaian bagi memastikan murid tidak membawa barangan berbahaya ke kawasan sekolah.
Pada masa yang sama, katanya, akses kepada perkhidmatan kaunseling perlu dipertingkatkan bagi membolehkan masalah emosi, tekanan dan perubahan tingkah laku murid dikenal pasti lebih awal serta ditangani secara berkesan.
“Usaha memastikan keselamatan murid bukan hanya tertumpu kepada tindakan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya memerlukan langkah pencegahan yang konsisten dan kerjasama semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Sri Tiong King Sing semasa Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Bintulu 2026 di sebuah restoran di sini, semalam.
Chua berkata kerjasama erat antara pihak sekolah dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga penting dalam menangani isu disiplin serta merangka penyelesaian yang berkesan.

Menurutnya, guru dan ibu bapa perlu berganding bahu membentuk tingkah laku murid, manakala tindakan disiplin hendaklah dilaksanakan secara tegas, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa.
Beliau turut menekankan kepentingan menilai keberkesanan pendekatan disiplin sedia ada dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah yang dilaksanakan bukan sahaja mencegah salah laku, malah mendidik murid supaya lebih bertanggungjawab.
Katanya, pengaruh internet dan media sosial terhadap tingkah laku murid juga tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila pendedahan kepada kandungan berunsur keganasan berpotensi mempengaruhi pemikiran dan tindakan mereka.
Justeru, katanya, pemantauan dan bimbingan berterusan perlu dilaksanakan di sekolah serta di rumah, di samping meningkatkan kesedaran murid tentang penggunaan internet secara bertanggungjawab.
Dalam perkembangan berkaitan, Chua berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat meneliti keberkesanan garis panduan tindakan disiplin di sekolah, termasuk peruntukan berkaitan hukuman rotan, dengan mengambil kira peraturan, prosedur pelaksanaan, keselamatan dan kebajikan murid.
Beliau berkata pendidikan bukan tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, sebaliknya ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam memupuk nilai moral, sikap hormat-menghormati, empati dan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak.
Menurutnya, usaha melahirkan generasi yang berdisiplin dan berakhlak mulia memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah serta sokongan berterusan daripada keluarga dan masyarakat.
Beliau berharap SMK Bintulu terus melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berdaya saing dan memahami tanggungjawab terhadap masyarakat.
Pada majlis itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah serta merakamkan penghargaan kepada warga SMK Bintulu atas komitmen mereka dalam memartabatkan kecemerlangan pendidikan.






