BINTULU: Kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti menjadi kunci kepada pembangunan ekosistem pendidikan berkualiti dan inklusif dalam usaha melahirkan murid yang berdaya saing.
Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Samri Suhaili berkata bahawa budaya kecemerlangan dalam kalangan warga sekolah perlu dipupuk secara berterusan bagi memastikan setiap murid mendapat peluang mengembangkan potensi diri dan mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Menurutnya, kecemerlangan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung pada komitmen guru dan pentadbir, malah memerlukan sokongan ibu bapa serta penglibatan komuniti dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
“Marilah kita bersama-sama membina ekosistem pendidikan yang inklusif, berkualiti dan berfokuskan kemenjadian murid agar tiada anak-anak yang tercicir daripada peluang untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SMK Bintulu 2026 di sebuah restoran di sini, pada Sabtu.
Samri berkata, setiap cabaran dalam bidang pendidikan perlu dilihat sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan murid yang cemerlang dalam akademik serta memiliki disiplin, sahsiah dan nilai diri yang baik.
Beliau yakin SMK Bintulu berpotensi untuk terus mencatat kejayaan membanggakan menerusi komitmen berterusan seluruh warga sekolah dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya terus berganding bahu membudayakan kecemerlangan serta memastikan setiap murid mendapat akses kepada peluang pendidikan yang sewajarnya.
Samri turut mengingatkan murid supaya memanfaatkan peluang pendidikan dengan sebaik-baiknya, selain menghormati guru dan ibu bapa, menjaga disiplin serta mengurus masa secara bijak.
Katanya, murid juga perlu berani menetapkan matlamat yang tinggi dan menjadikan kejayaan orang lain sebagai inspirasi untuk terus berusaha memperbaiki diri.
Beliau berkata, kejayaan menuntut usaha bersungguh-sungguh, ketekunan dan doa, selain sokongan keluarga, guru serta persekitaran yang positif.
Menurutnya, majlis berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk mengiktiraf pencapaian dan usaha murid, malah turut menyuntik motivasi kepada mereka supaya terus meningkatkan prestasi dalam bidang akademik dan pembangunan sahsiah.
Beliau berharap pengiktirafan berkenaan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah, selain memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga pendidikan.




