IPOH: Dua beradik terdiri daripada remaja perempuan, 15, dan adik lelakinya, 13, cedera ringan selepas sebatang pokok bersaiz dua pemeluk tumbang menghempap sebuah rumah dan kenderaan dalam kejadian di Jalan Menteri dekat Selama, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan pada 4.17 petang semalam dan adik-beradik itu telah dibawa ke Hospital Selama sebelum ketibaan bomba.
“Pokok yang tumbang dipotong dan dialihkan bagi memastikan tiada lagi risiko,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian hujan lebat serta ribut sedang berlaku di kawasan itu.
Operasi tamat pada 6.33 petang.– BERNAMA




