MUKAH: Majlis Konvokesyen Politeknik Mukah (PMU) Ke-17 menjadi lebih bermakna buat dua beradik – Sharifah Adriana Batrisyia Syed Malek Faizal dan Syed Mohd Aliff Izzan Syen Malek Faizal apabila mereka menamatkan pengajian dalam sesi yang sama.
Sharifah Adriana, graduan Diploma Sains Kesetiausahaan yang turut menerima Anugerah Ketua Jabatan, menyifatkan kejayaan itu sebagai pengalaman tidak ternilai apabila dapat diraikan bersama-sama adiknya yang tamat pengajian Diploma Kejuruteraan Awam.
“Sepanjang pengajian memang banyak cabaran, tetapi semuanya berbaloi apabila berada di tahap ini.
“Alhamdulillah, akhirnya berjaya menamatkan pengajian. Adik saya juga banyak membantu, kami saling menyokong antara satu sama yang lain sepanjang berada di PMU,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurutnya, kejayaan itu tidak akan tercapai tanpa sokongan keluarga, terutama ibu, adik-beradik dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat sehingga mereka mampu menamatkan pengajian dengan baik.
Sementara itu, adiknya Syed Mohd Aliff Izzan yang kini bekerja di syarikat minyak dan gas, Deleum Oilfield di Miri berkata, dia bersyukur kerana dapat bekerja selepas tamat pengajian.
“Alhamdulillah, saya dapat membantu keluarga selepas ibu bersara dan Insya-Allah dalam beberapa tahun lagi saya bercadang untuk menyambung pelajaran demi menambah kemahiran,” jelasnya.
Bagi dua beradik itu, kejayaan yang diraikan di pentas konvokesyen bukan sahaja milik mereka, sebaliknya hadiah paling istimewa buat ibu serta keluarga yang menjadi penguat semangat selepas kehilangan bapa tercinta.





