BINTULU: Dua rumah teres rosak dalam kejadian ribut yang berlaku petang tadi , di kawasan perumahan Taman Bukit Orang, di sini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.55 petang.
Beliau berkata sepasukan anggota dari BBP Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian bagi meninjau sekali gus menjalankan kerja-kerja menyelamat.

“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan didapati benar terdapat bumbung rumah diterbangkan angin.
“Kemusnahan membabitkan dua unit rumah teres dua tingkat dengan sebuah daripadanya mengalami kerosakan 40 peratus manakala sebuah lagi rosak 100 peratus akibat angin lintang,”katanya dalam satu kenyataan petang tadi.

Menurutnya lagi, pasukan bomba membuat pemantauan dan mengambil maklumat mangsa yang terlibat untuk tindakan lanjut pihak berkaitan.
Insiden tersebut, bagaimanapun, tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa.

