Dua chapel di Dalat terima bantuan dari UNIFOR

DALAT:  Kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) terus komited membantu mana-mana badan rumah ibadat dalam menyokong usaha meningkatkan tahap pembangunan setiap tempat ibadat tidak mengira agama di negeri ini.

Sehubungan itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah telah menyampaikan dua buah cek dari pihak UNIFOR kepada dua buah chapel di kawasan Dalat, semalam.

Chapel yang menerima cek berkenaan ialah Chapel St Nicholas, Kampung Sungai Kut Muara berjumlah Rm80,000.00 dan sebuah lagi cek kepada Chapel Our Lady of Fatima, Kampung Sungai Ud, Dalat berjumlah RM100,000.

Fatimah menjelaskan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri untuk lain-lain agama tersebut dapat digunakan sama ada untuk membina gereja, chapel, kuil dan juga hal berkaitan dengan tanah perkuburan.

“Inisiatif ini juga merupakan usaha kerajaan Sarawak bagi memastikan tiada agama yang terlepas dari pandangan untuk diberi bantuan selain daripada bangunan atau rumah ibadat yang dimiliki oleh orang Islam.

“Dengan cara ini, kita berharap bahawa Negeri Sarawak terutamanya, meskipun terdiri daripada pelbagai agama, berbilang kepercayaan tetapi semuanya diberi perhatian dan layanan yang sewajarnya” katanya kepada Suara Sarawak.

Difahamkan bagi kawasan Dun Dalat untuk tahun 2018, pihak UNIFOR telah memberi peruntukkan kepada sembilan buah institusi agama bukan Islam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM 628,000.00 manakala bagi tahun 2019 pula, sebanyak empat institusi telah menerima peruntukkan berjumlah RM 530,000.00.

“Kita berharap agar kita dapat saling hormat-menghormati satu sama lain dan dapat hidup aman harmoni dalam satu masyarakat yang makmur.

“Ini adalah sangat penting kerana kita mahu rakyat Sarawak hidup dalam keadaan yang sejahtera,” tambah Fatimah.

Suara Sarawak