KOTA SAMARAHAN: Sarawak gagal merangkul sebarang pingat dalam peringkat akhir acara catur Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang berlangsung di Dewan Jubli Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Samarahan, hari ini.
Percubaan tuan rumah untuk memberi cabaran pada kategori berpotensi pingat, iaitu blitz lelaki, juga punah selepas tewas kepada Johor di pusingan terakhir.
Pusingan akhir menyaksikan Pulau Pinang menguasai pentas catur pada temasya kali ini dengan mengumpul dua pingat emas, empat perak dan satu gangsa secara keseluruhan.
Dua pingat emas diperoleh pasukan pelawat masing-masing pingat menerusi acara blitz lelaki dan blitz perempuan.
Manakala pingat perak diperoleh daripada kategori blitz perempuan, standard perempuan individu, standard lelaki berpasukan dan standard perempuan berpasukan.
Bagi pingat gangsa pula merangkumi kategori standard lelaki individu.
Selangor turut menyerlah dengan mengutip dua emas dalam acara itu menerusi standard lelaki individu dan standard lelaki berpasukan.
Ia diikuti dua perak menerusi acara blitz lelaki dan standard lelaki individu.
Johor, Melaka dan Perak pula masing-masing merangkul satu pingat gangsa.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan dilihat berpotensi untuk memintas kedudukan teratas pengumpul pingat emas selepas menambah dua lagi pingat emas menerusi acara catur.
Pasukan yang kini berada di kedudukan kedua di bawah Sarawak sebagai pengumpul pingat emas terbanyak pada hari terakhir SUKMA XXI berjaya menambah dua pingat emas masing-masing menerusi standard perempuan individu dan standard perempuan berpasukan.
Setakat jam 1.30 tengah hari, Sarawak masih pada kedudukan teratas dengan mengumpul 73 pingat emas manakala Wilayah Persekutuan selaku naib dengan mencatat 71 pingat emas.
Acara penyampaian pingat disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.



