ARTIKEL

Dua gangsa iringi persaraan Rapelson

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua pingat gangsa pada Para SUKMA Selangor 2026 menjadi pencapaian terakhir atlet para renang Sarawak, Rapelson Richard Hamit, yang mengumumkan persaraan susulan pelaksanaan had umur 40 tahun bagi penyertaan atlet.

Rapelson meraih kedua-dua pingat menerusi acara 50 meter dan 100 meter gaya bebas kategori S7 pada temasya yang berlangsung dari 5 hingga 10 September lalu, dengan pertandingan renang diadakan di Pusat Akuatik Selangor.

Pengerusi Bengkel Seri Sarawak itu berkata, keputusan bersara dibuat selepas mengambil kira ketetapan had umur berkenaan yang menurutnya boleh menjejaskan kesinambungan kerjaya atlet orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang bergantung kepada sukan sebagai sumber pendapatan.

“Umur tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembangunan atlet OKU, terutama atlet elit yang menjadikan sukan sebagai kerjaya sepenuh masa dan sumber pendapatan mereka.

“Pada peringkat Asia dan antarabangsa, atlet boleh terus bertanding selagi mempunyai kemampuan serta melepasi pemeriksaan kesihatan. Peluang itu sepatutnya turut diberikan kepada atlet berusia 50 tahun atau lebih,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kejayaan di Selangor cukup bermakna buat Rapelson yang sebelum ini gagal meraih pingat pada Para SUKMA Sarawak 2024 selepas klasifikasinya dinaikkan daripada SB5/S6 kepada SB6/S7.

Meskipun kemudian diletakkan sebagai atlet pelapis, beliau membuktikan kemampuan untuk terus bersaing apabila menyumbang dua gangsa kepada kontinjen Sarawak pada edisi 2026.

Menurutnya, pencapaian itu hadir selepas melalui cabaran membahagikan masa antara latihan, pekerjaan dan tanggungjawab mengurus Bengkel Seri Sarawak.

“Bukan mudah untuk membahagikan masa dengan jadual yang padat, tetapi kesungguhan, semangat serta sokongan keluarga dan pasukan akhirnya membuahkan hasil,” jelasnya.

Rapelson berkata, beliau tetap berhasrat menamatkan kerjaya sebagai atlet meskipun had umur dinaikkan semula kepada 50 tahun, namun akan terus membantu perancangan dan pembangunan skuad para renang Sarawak di bawah kepimpinan Sarini Kidri.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan atlet muda supaya sentiasa merendah diri, menghormati jurulatih dan menghargai setiap peluang yang diberikan dalam usaha mencapai kejayaan.

“Jangan leka apabila sudah berjaya. Ingat asal usul, hormati jurulatih dan pasukan kerana setiap kejayaan bermula daripada peluang yang diberikan kepada kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, persatuan para renang, barisan kejurulatihan, pengurusan dan rakan sepasukan atas sokongan sepanjang kerjayanya.

Rapelson, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang Perancangan dan Pengurusan Pembangunan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), turut menerima pengiktirafan Ikon Alumni UNIMAS kategori Sukan pada 2024.

Selepas bersara, beliau akan menumpukan perhatian kepada pembangunan dan peluang pekerjaan golongan OKU menerusi Bengkel Seri Sarawak, termasuk usaha mempelbagaikan perniagaan serta persediaan berpindah sementara ke Batu 10 bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks baharu.

Rapelson (duduk, kiri) merakam kenangan bersama pekerja Bengkel Seri Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU