ARTIKEL

Michael berucap dalam program APHC 2025 di BCCK, di sini, hari ini.

Dua Inisiatif Baharu Revolusi Penjagaan Paliatif di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pelancaran Atlas Penjagaan Paliatif Asia-Pasifik dan penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Penjagaan Paliatif Sarawak dijangka merevolusikan landskap penjagaan paliatif di negeri ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata dua inisiatif yang dilancarkan sempena Persidangan Penjagaan Paliatif Hospis Asia Pasifik Ke-16 2025 (APHC 2025) itu membuktikan kepimpinan dan dedikasi kolektif rantau ini dalam menyediakan penjagaan berkualiti.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini menandakan bab baharu dalam perjalanan Sarawak untuk memperkukuh dan mengembangkan penjagaan paliatif, termasuk menyelaras perkhidmatan serta menyepadukan penjagaan di seluruh komuniti.

“Ia juga berperanan memastikan ubat penting seperti opioid tersedia di kawasan luar bandar dan rumah panjang, serta merintis strategi baharu untuk menjadikan penjagaan paliatif sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, dalam program APHC 2025 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), di sini, hari ini.

Tambahnya, pelancaran penerbitan Atlas Penjagaan Paliatif Asia-Pasifik turut menyediakan gambaran menyeluruh mengenai landskap penjagaan paliatif di rantau ini, dengan memaparkan kemajuan, jurang dan peluang.

“Ia akan menjadi alat penting untuk advokasi, perancangan dan tindakan, bukan sahaja bagi profesional, tetapi juga pembuat dasar dan komuniti yang ingin memperluas akses kepada penjagaan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU