ARTIKEL

Gambar hiasan.: Foto KWB

Dua Insiden Dalam Lima Hari: Ribuan Penduduk Samarahan Terjejas Bekalan Air

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bekalan air di beberapa kawasan di Samarahan terjejas susulan dua insiden kerosakan paip dalam tempoh lima hari yang berpunca daripada kerja kontraktor Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Lembaga Air Kuching (KWB) berkata insiden terbaharu melibatkan paip utama jenis simen asbestos (AC) berdiameter 12 inci yang pecah berhampiran lampu isyarat di Jalan Wan Alwi pada 22 Julai 2025.

Kejadian ini menyusuli kerosakan lebih awal yang berlaku pada 18 Julai 2025 melibatkan paip utama jenis besi mulur (DI) berdiameter 200mm di Desa Ilmu, Jalan Datuk Mohammad Musa.

Insiden yang berulang ini telah menyebabkan gangguan dan tekanan air rendah, terutamanya menjejaskan pengguna di kawasan Tabuan Jaya, Samarahan dan kawasan perumahan sekitarnya, katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, amaran telah diberi berulang kali kepada kontraktor KUTS agar lebih berhati-hati ketika menjalankan kerja pengorekan atau pembinaan berhampiran infrastruktur air sedia ada.

Namun, kejadian yang berulang ini mencerminkan kelemahan serius dari segi kewaspadaan, koordinasi dan pengawasan di tapak, jelasnya.

Justeru, KWB menggesa pihak pemaju projek KUTS dan kontraktornya untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap gangguan ini serta melaksanakan langkah keselamatan dan pencegahan kerosakan yang lebih ketat semasa menjalankan kerja bawah tanah.

Pengorekan secara cuai bukan sahaja merosakkan kemudahan awam yang penting, malah turut menyusahkan ribuan penduduk, ujarnya.

KWB menghargai kesabaran dan pemahaman orang ramai sementara kerja pemulihan dijalankan.

Kami komited untuk meminimumkan gangguan dan memastikan sistem bekalan air kekal dapat dipercayai, tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU