KUCHING: Pendidikan anak-anak yatim di Sarawak perlu terus diperkasa supaya mereka mampu membina kerjaya dan terlibat dalam sektor ekonomi baharu negeri, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan prinsip keterangkuman sosial di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan sumbangan tambahan RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) bagi membantu usaha persatuan berkenaan menjaga kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim.
“Malam ini saya hendak menambah sedikit peruntukan iaitu sebanyak RM50,000 untuk Peryatim. Saya berharap ia dapat membantu dan mereka akan berjaya dalam kehidupan masing-masing.
“Malah, sudah ramai anak-anak yatim menjadi graduan dan ada yang belajar sehingga peringkat doktor falsafah serta memikul tanggungjawab tinggi dalam syarikat termasuk sektor kejuruteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam amal Unplugged with Amir Masdi bersama Premier anjuran AD Interact International Sdn Bhd di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan ramai anak yatim di bawah jagaan Peryatim melanjutkan pengajian sehingga ke universiti membuktikan sokongan berterusan mampu mengubah masa depan mereka.
“Anak-anak yatim tidak seharusnya dilihat sebagai golongan yang hanya memerlukan bantuan, sebaliknya perlu diberikan ruang dan peluang untuk mengembangkan kebolehan serta membina kerjaya dalam pelbagai bidang, termasuk industri berteknologi tinggi,” jelasnya.
Matlamat seterusnya, katanya, ialah memastikan anak-anak yatim yang lain mempunyai peluang untuk membina kemahiran bagi mengisi keperluan tenaga kerja, termasuk dalam industri berteknologi tinggi yang sedang berkembang.
“Bagi tahun 2027, Kerajaan Sarawak menyediakan RM200 juta untuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang dijangka memberi manfaat kepada sehingga 10,600 pelajar.
“Manakala penerima daripada keluarga berpendapatan rendah yang layak turut menerima elaun sara hidup dan penginapan.
“Tidak kira sama ada anak yatim ataupun bukan, apa yang kita mahu ialah mereka menjadi tenaga kerja yang dapat mengisi pembangunan yang sedang berjalan ketika ini, termasuk industri berteknologi tinggi,” ujarnya.
Katanya lagi, Kerajaan Sarawak turut menyediakan hampir RM46 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dalam Belanjawan 2027 untuk pelbagai bantuan, termasuk bagi golongan kanak-kanak, orang kurang upaya dan lain-lain.
Mengimbas penglibatannya bersama Peryatim, Abang Johari berkata beliau pernah bekerjasama membantu persatuan berkenaan ketika mengendalikan hal ehwal Majlis Islam dan Baitulmal, sehingga rangkaian rumah anak yatim dapat dikembangkan bukan sahaja di Kuching, malah ke Sibu, Miri dan Bintulu.
“Membantu anak yatim bukan hanya terletak pada tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, badan kebajikan serta sektor korporat.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan golongan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk membina kehidupan lebih baik,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada AD Interact International Sdn Bhd, Peryatim, penaja, rakan strategik serta penderma yang menjayakan program itu, sambil menegaskan nilai sebenar sesuatu program amal bukan terletak pada kemeriahannya, tetapi impak yang ditinggalkan dalam kehidupan penerima.
Majlis makan malam amal itu turut menampilkan persembahan penyanyi Amir Masdi sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul sokongan bagi membantu Peryatim.





