Dua kanak-kanak digigit anjing peliharaan positif rabies

KUCHING: Dua kanak-kanak dari kawasan Tasik Biru, Bau menjadi mangsa gigitan dua anak anjing yang dikesan positif rabies baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr. Adrian Susin Ambud berkata kedua-dua anak anjing itu dipelihara mereka dan tidak pernah divaksin.

Katanya anak-anak anjing itu diambil dari rakan mereka warga Indonesia yang tinggal di Kuching pada 31 Mac lalu dan sudah kembali ke Indonesia.

“Tiga bulan kemudian, anak-anak anjing itu menjadi agresif dan menggigit mereka.

“Seekor daripada anak anjing itu dibuang di kawasan Tasik Biru dan tidak dapat dikesan.

“Manakala ujian makmal yang dibuat ke atas seekor lagi anak anjing terbabit mendapati ia positif rabies pada 2 Julai ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr. Adrian berkata kedua-dua kanak-kanak berkenaan sudah mendapatkan rawatan di klinik gigitan anjing di Bau dan kes kemudian dirujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai di kawasan Tasik Biru jika ada melihat anak anjing berwarna krim berkeliaran supaya menghubungi segera Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak
(082-628248) atau Hotline Rabies di 016-2557267 (WhatsApp) atau Majlis Daerah Bau .

Sementara itu, Dr. Adrian berkata dalam tempoh 20 hingga 24 Jun lalu, ujian makmal yang dibuat pada 11 sampel yang diperoleh dari Kuching, Serian, Betong dan Bintulu mendapati dua daripadanya positif rabies.

Katanya kedua-dua sampel itu juga diperolehi dari dalam radius 10 kilometer kawasan rabies iaitu di Kampung Ranchan Baduk, Serian dan Lorong 22C, Jalan Stampin Baru, Kuching.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai yang ada memelihara anjing supaya memastikan anjing divaksin bagi membasmi penularan rabies.

Tegas beliau, pemilik anjing yang didapati tidak memvaksin anjing masing-masing boleh didenda tidak melebihi RM2,500 di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Setakat ini sejumlah 123,035 anjing telah diberikan vaksin sejak 2017.

Suara Sarawak