ARTIKEL

Keadaan kenderaan mangsa akibat kemalangan. Foto IPD Matu-Daro.

Dua Kanak-kanak Maut, Warga Emas Parah Dalam Kemalangan Di Daro

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DARO: Dua kanak-kanak maut, manakala seorang warga emas cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bruan Mapal–Pergau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, kedua-dua mangsa kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dan sebuah Perodua Bezza yang dipandu lelaki berumur 60 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, kereta berkenaan turut membawa dua penumpang kanak-kanak berusia enam dan lapan tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang datang dari arah Daro menuju ke Pantai Bruan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori Nissan yang datang dari arah Igan menghala ke Daro,” katanya dalam kenyataan.

Rahim berkata, pertembungan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit mengalami kerosakan teruk.

“Pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Daro untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, dua kanak-kanak yang berada di dalam kenderaan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Daro.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU