KUCHING: Banjir kilat melanda kawasan rendah di Kampung Batu Gong, Jalan Kuching-Serian, awal pagi tadi, mengakibatkan lima rumah dinaiki air setinggi kira-kira 0.30 meter, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Edi Guang memaklumkan panggilan kecemasan diterima sekitar jam 5.50 pagi dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi pada jam 6.02 pagi untuk menilai keadaan serta memastikan keselamatan penduduk.


“Banjir berlaku susulan hujan lebat sejak awal pagi yang menyebabkan air sungai berhampiran melimpah ke kawasan rendah sekitar rumah penduduk.
“Dua daripada lima keluarga yang terjejas mengambil keputusan untuk berpindah sementara ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kampung Batu Gong Baru, manakala tiga keluarga lain memilih untuk kekal di kediaman masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Edi berkata, pasukan bomba bertindak memantau keadaan, mengambil maklumat penduduk dan memastikan tiada risiko keselamatan sebelum kembali ke balai.


Menurutnya, tiada operasi menyelamat diperlukan berikutan paras air yang relatif rendah dan penduduk dapat berpindah sendiri.
“Seramai 12 individu dikenal pasti dalam kalangan keluarga terjejas termasuk warga emas, lelaki dan perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki.
“Operasi turut melibatkan kerjasama agensi lain termasuk empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu pemantauan serta keselamatan kawasan.
“Pemantauan berterusan dijalankan sehingga paras air surut sepenuhnya,” katanya.












