GEDONG: Dua kumpulan zikir dari Kampung Naie Lama, Kota Samarahan iaitu Kumpulan Suara Baru dan Kumpulan Suara Nur Kasih muncul johan kategori lelaki dan wanita dalam Pertandingan Zikir Duduk Terbuka Sarawak yang berlangsung di Dewan Datuk Patinggi Ali di sini, petang Ahad lalu.
Kedua-dua kumpulan itu masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan sebuah piala. Suara Baru memperoleh 95.50 peratus markah, manakala Suara Nur Kasih menerima 95 peratus.

Naib juara kategori lelaki disandang Kumpulan Suara Seni dari Lorong Bentara 15, Kampung Wawasan Jaya, Samariang dengan 94 peratus. Bagi kategori wanita, tempat kedua diraih Kumpulan An Nur Bisahri dari Kampung Bangka Semong, Kota Samarahan yang mencatat 87 peratus markah.
Tempat ketiga kategori lelaki dimenangi Kumpulan Suara Permata dari Perumahan Darul Hana dengan 89.50 peratus, manakala kategori wanita dimenangi Kumpulan Ummul Mukminin dari Surau Darul Istiqamah, Kampung Rampangi yang memperoleh 85.50 peratus. Hadiah tempat ketiga ialah RM1,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan Pengerusi Persatuan Berzanji Negeri Sarawak, Adenan Suut, pada majlis penutupan pertandingan itu.
Pertandingan ini dianjurkan bersama Persatuan Berzanji Negeri Sarawak, Tanjong Pilin Resources Sdn Bhd, PBB Cawangan Gedong, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Kawthar dan JKK Gedong.
Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Ketua PBB Cawangan N.26 Gedong, Ali Bujang, yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.
Hadir sama ialah Wakil Khas beliau di DUN Gedong, Datuk Sri Mohd Naroden Majais, Pemanca Abang Roni Abang Saadeli dan Pengerusi Masjid Al-Kawthar Gedong, Julkepli Net.
Sebanyak 35 kumpulan dari Kuching, Samarahan, Sadong Jaya, Serian, Simunjan dan Gedong mengambil bahagian dalam pertandingan sehari itu.
Selain pemenang utama, kumpulan yang menduduki tempat keempat hingga ketujuh menerima wang tunai RM800, RM600, RM500 dan RM400. Peserta lain menerima sagu hati RM250 setiap kumpulan.
Dalam ucapannya, Ali menyampaikan salam dan permohonan maaf daripada Abang Johari dan Mohd Naroden kerana tidak dapat hadir akibat tugasan rasmi yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berkata penduduk Gedong berbangga kerana kawasan itu dipilih sebagai tuan rumah buat pertama kali bagi penganjuran pertandingan zikir duduk peringkat negeri.
“Ini sejarah baharu bagi penduduk Gedong kerana ini kali pertama Gedong menjadi tuan rumah pertandingan zikir peringkat negeri,” katanya.

