SIBU: Dua lelaki cedera selepas sebuah Perodua Myvi dan Toyota Hilux bertembung di Bulatan Paradom, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, lelaki berusia 37 tahun yang menaiki Perodua Myvi mengalami kecederaan pada paha kanan, manakala lelaki berusia 64 tahun yang menaiki Toyota Hilux cedera ringan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 7.20 pagi.
“Susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian, kira-kira 14 kilometer dari balai berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
PGO menambah, setibanya di lokasi pada 7.42 pagi, pasukan bomba mendapati lelaki yang menaiki Perodua Myvi masih berada di dalam kenderaan dengan kecederaan pada paha kanan, namun tidak tersepit.
Katanya, lelaki yang menaiki Toyota Hilux pula berjaya keluar sendiri dari kenderaannya dan mengalami kecederaan ringan.
“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan khas menyelamat kemalangan jalan raya (RTA) dengan mengaplikasikan kaedah SAVER bagi membantu mengeluarkan mangsa dari Perodua Myvi.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.





