KUCHING: Dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana menyebabkan kematian seorang pengawal keselamatan dalam satu kejadian video tular di media sosial memukul beramai-ramai seorang lelaki di hadapan sebuah hotel di Batu Kawa, Oktober lalu.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap Ashley Austin Chin, 25, Albert Chin Quan Yan, 22, mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama beberapa orang yang lain didakwa membunuh tanpa niat seorang lelaki berusia 51 tahun di hadapan sebuah hotel di Batu Kawa, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi, 30 Oktober lalu.
Zubaidah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa semalam.
Sementara, di mahkamah yang sama, enam orang remaja berusia 15 tahun hingga 18 tahun terlibat dalam kes terbabit turut mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama.
Zubaidah kemudian membenarkan kesemua remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan RM5,000 berserta ibu atau bapa sebagai penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh laporan sosial dan laporan akhlak pada 7 Disember depan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.






