KUCHING: Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS) membangunkan lebih 300 sistem aplikasi bagi menyokong operasi Kerajaan Sarawak sepanjang 35 tahun penubuhannya.
Pengerusinya, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, peranan SAINS kini berkembang melangkaui usaha pengkomputeran kepada penyediaan infrastruktur dan penyelesaian digital yang menyokong keperluan kerajaan serta rakyat.
Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada 1991, SAINS melalui pelbagai perubahan teknologi bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berfungsi dengan cekap dan boleh dipercayai.

“Ketika SAINS ditubuhkan, kebanyakan urusan kerajaan masih dilakukan secara manual, dengan fail dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain, rekod disimpan dalam kabinet dan mesin faks menjadi antara peralatan paling canggih di banyak pejabat.
“Pada peringkat awal, bukan mudah untuk meyakinkan pihak berkaitan mengenai kepentingan komputer kerana ada yang menganggapnya sebagai alat permainan dan lebih selesa menggunakan mesin taip.
Namun, selepas melihat potensi teknologi itu, sokongan usaha pengkomputeran mula diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-35 SAINS yang disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Melayu, di sini, malam tadi.
Menurutnya, antara infrastruktur penting yang dibangunkan ialah SarawakNet, rangkaian persendirian milik kerajaan negeri yang menghubungkan lebih 500 pejabat kerajaan di seluruh Sarawak.
Katanya menerusi rangkaian itu, pemindahan fail digital antara pejabat kerajaan dari Lawas hingga ke Kuching dapat dilakukan menggunakan rangkaian milik Sarawak sendiri.
Beliau berkata SAINS turut mengendalikan Pusat Operasi Keselamatan Siber yang memantau sistem kerajaan sepanjang masa, selain Pusat Pemerhatian Bumi yang menggunakan teknologi penderiaan jauh bagi membolehkan negeri memantau keadaan tanah, hutan dan sungai dari udara.
Selain itu, katanya SAINS membangunkan Sarawak Pass sebagai identiti digital negeri, mengendalikan kemudahan awan persendirian di Sarawak serta melancarkan Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak pada tahun ini.
Chan berkata, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut membuka ruang kepada SAINS untuk terus memperkukuh keupayaan digital negeri, selaras dengan keperluan dan keutamaan Sarawak.
Beliau berkata, pencapaian SAINS turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah, termasuk kejayaan sistem AiCOS di peringkat kebangsaan pada 2023 serta pengiktirafan korporat yang diterima pada 2025.
SAINS juga menerima anugerah infrastruktur digital dalam kategori Infrastruktur Awan dan Platform AI Berdaulat pada 2025 dan 2026.
Bagaimanapun, Chan berkata, pengiktirafan itu bukanlah ukuran tunggal kejayaan organisasi kerana kelangsungan sistem dan perkhidmatan bergantung kepada komitmen warga kerjanya.
“Anugerah tidak memastikan sistem terus beroperasi pada pukul 3 pagi.
Orang yang melakukannya ialah warga kerja kita.
“Pengiktirafan bukanlah garisan penamat, sebaliknya peringatan mengenai standard yang perlu kita kekalkan serta tanggungjawab yang perlu dipikul,” katanya.
Pada majlis itu, Chan turut menghargai sumbangan warga kerja SAINS, termasuk 30 kakitangan yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dan 96 kakitangan yang mencapai tempoh perkhidmatan 25 tahun.
Menurutnya, pengalaman warga kerja yang melalui pelbagai perubahan teknologi, termasuk perkembangan sistem awan dan AI, menjadi antara kekuatan organisasi itu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada bekas ahli lembaga pengarah, bekas ketua pegawai eksekutif, barisan pengurusan terdahulu serta rakan kerjasama dan pihak berkepentingan yang menyumbang kepada perkembangan SAINS.
Chan berkata, walaupun banyak tugas SAINS dilaksanakan di sebalik tabir, komitmen warga kerjanya dalam memastikan sistem kerajaan terus beroperasi dan menyelesaikan masalah perlu dikekalkan.
Beliau turut menyifatkan Sarawak sebagai negeri yang mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam bidang teknologi maklumat, sambil berharap sokongan berterusan Premier Sarawak dapat membantu SAINS meneruskan peranannya dalam memacu pembangunan digital negeri.




