MIRI: IPD Miri telah menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes jenayah curi di daerah ini.
Menurut hantaran Facebook IPD Miri, tangkapan tersebut dijalankan kira-kira jam 2.20 petang di kawasan Kampung Lereng Bukit, Miri.
“Hasil daripada tangkapan berkenaan, pihak polis telah merampas beberapa barangan milik suspek serta barangan yang dipercayai hasil daripada kegiatan curi bagi tujuan siasatan lanjut,” menurut hantaran itu.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti jenayah.
“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menyalurkan maklumat atau melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah di Miri,” jelas hantaran itu.



