KUCHING: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang didapati melayari laman web dan menyimpan video pornografi kanak-kanak di telefon bimbit masing-masing.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, berkata kedua-dua lelaki yang berasal dari Bintulu dan Miri ditahan berikutan maklumat yang diperoleh pada April dan November lepas.
“Kedua-dua suspek ditangkap di Bintulu dan Miri bagi dua kes berasingan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mancha menambah, kes ini disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak, yang melibatkan kesalahan mengakses dan menyimpan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak 2017.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayari, mengakses laman web, serta menyimpan video pornografi dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai juga diminta untuk memberi maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat maklumat seperti ini untuk siasatan lanjut,” katanya.




