BELAWAI: Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas masuk ke hutan berhampiran Kampung Lot Baru di sini akhirnya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 2.30 pagi tadi.
Kedua-dua mangsa berjaya dikesan oleh penduduk kampung ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan walaupun operasi rasmi ditangguhkan sementara lewat malam tadi.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak, mangsa ditemui dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum dibawa pulang ke rumah masing-masing.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.30 malam dan segera menggerakkan operasi pencarian bersama agensi berkaitan termasuk polis serta penduduk kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, radius pencarian merangkumi kawasan sejauh lima kilometer dari Bulatan Tanjung Manis, termasuk menyusuri jalan raya dan kawasan yang dikenal pasti laluan mangsa.
Difahamkan kedua-dua lelaki berkenaan keluar dari rumah sekitar tengah hari semalam untuk mencari kayu api di kawasan hutan berdekatan, namun gagal pulang sehingga malam menyebabkan ahli keluarga tampil membuat laporan polis.
Bertindak atas laporan itu, gerakan SAR segera dilancarkan bagi mengesan mangsa sebelum mereka ditemui dalam keadaan selamat awal pagi tadi.


