MIRI: Dua lelaki, termasuk seorang warga tempatan, ditahan setelah disyaki terlibat dalam aktiviti pembekalan dadah di sebuah bilik sewa bangunan kedai di pekan Batu Niah pada 12 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri sekitar jam 4 petang.
“Hasil serbuan telah menjumpai dan merampas 13 keratan tiub straw pelbagai saiz, masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 5.00 gram.
“Keseluruhan nilai rampasan barang disyaki dadah dianggarkan berjumlah RM550,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun, dan dikenakan sebatan tidak kurang daripada tiga kali tetapi tidak melebihi sembilan kali,” ujarnya.
Menurut Alexson, suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri bagi permohonan reman, yang diluluskan selama empat hari.
Pada masa sama, beliau menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar ia dapat dibendung dan dibanteras bersama.

