ARTIKEL

Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan. Foto IPD Meradong

Dua lelaki positif dadah dicekup dalam Ops Tapis di Bintangor

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTANGOR: Dua lelaki ditahan sepasukan polis dalam Ops Tapis di sekitar bandar ini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superintendan Tansli Mering berkata, kedua-dua suspek berusia 35 dan 23 tahun itu ditahan oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong kira-kira 12.05 tengah hari.

Menurutnya, tangkapan dilakukan ketika anggota polis menjalankan operasi pencegahan jenayah dan dadah di kawasan berkenaan sebelum kedua-dua lelaki itu dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.

“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan rekod lampau turut mendapati kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai satu rekod kesalahan berkaitan dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tansli menegaskan, pihak polis memandang serius kesalahan berkaitan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan aktiviti itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong bagi membantu usaha membanteras jenayah berkenaan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat ke Balai Polis Bintangor melalui talian 084-693222.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU