SARATOK: Dua lelaki tempatan ditahan dalam operasi polis semalam selepas ujian air kencing mendapati mereka positif dadah sekali gus membuktikan keberkesanan rondaan di kawasan berisiko tinggi.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, operasi bersepadu itu dijalankan antara jam 3 hingga 6 petang.

Katanya, ia bertujuan menurunkan kes jenayah indeks, meningkatkan kehadiran polis, serta menahan dan memeriksa individu dan kenderaan yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah, termasuk penyalahgunaan dadah.
“Rondaan dijalankan secara bergerak di sepanjang Jalan Pan-Borneo dan kawasan pasar, taman serta kampung di Kabong, Saratok dan Roban.

“Seramai 17 anggota terlibat dengan pemeriksaan ke atas 30 individu dan 25 kenderaan.
Dalam tempoh operasi, 18 saman turut dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyaaan.

Tambah Mathew, keberhasilan tangkapan berlaku apabila anggota MPV STK 103 menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan di Jalan Lubok Nitik.
Pemeriksaan ke atas dua lelaki tempatan berusia 23 dan 25 tahun mendapati kedua-duanya positif dadah jenis AMP/METH melalui ujian saringan air kencing dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik.
“Tindakan pantas ini bukan sahaja mengekang aktiviti penyalahgunaan dadah, malah memperkukuh kehadiran polis di kawasan yang dikenalpasti sebagai tumpuan jenayah,” katanya.
Oerasi bersepadu seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan awam dan kawalan jenayah terjamin.
Diharapkan operasi sebegini dapat memberi impak nyata dalam membanteras jenayah serta memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa kawasan berisiko tinggi sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa.



