
KAPIT: Dua orang mangsa dikhuatiri hilang setelah perahu dinaiki mereka karam di jeram Pelagus, di sini, dalam satu kejadian semalam masih, belum dijumpai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, usaha mencari kedua-dua mangsa berumur 73 dan 21 tahun ditangguhkan pada jam 5 petang hari ini dan akan bersambung semula pada esok.
Katanya, operasi pencarian melibatkan agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Pasukan penyelamat bertolak menggunakan bot penyelamat bomba ke lokasi kejadian yang memakan masa satu jam setengah melalui jalan sungai (melawan arus sungai).

“Teknik “Water Surface Searching” digunakan dalam radius 15km dari kawasan kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, pasukan penyelamat berdepan kesukaran berikutan keadaan aliran sungai yang sangat deras dan tiada liputan radio serta laporan selular di lokasi kejadian.
Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit menerima laporan berhubung kejadian daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit kira-kira 11.35 pagi hari ini.
Menurut saksi, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam ketika bersama datuknya, Ngalang Demong dan bapa saudaranya, Richelles Seli Lasu dalam perjalanan ke Rh Nanga Pelagus, Kapit untuk menjala ikan.
Sebelum melintasi salah satu jeram di kawasan Pelagus, saksi diminta untuk turun dari perahu dan berjalan kaki mengikut laluan pejalan kaki di tebing sungai.
Manakala datuk dan bapa saudaranya bergerak menggunakan perahu.
Semasa melintasi jeram tersebut, saksi melihat perahu yang dinaiki mereka telah karam dan kedua-dua mangsa telah hilang.
Gerakan awal mencari dan menyelamat dilakukan oleh penduduk kampung telah dilakukan bagaimanapun kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

