MIRI: Dua lelaki maut dalam kemalangan berasingan di Jalan Pantai Bungai, Bekenu dan Jalan Miri – Pujut (Jalan Lereng Bukit), di sini, Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan yang berlaku di Jalan Pantai Bungai pada Ahad melibatkan kenderaan jenis Mitsubishi Triton dan motosikal jenis Sym.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu oleh wanita berusia 32 tahun semasa keluar dari simpang telah dilanggar oleh motosikal yang ditunggang oleh lelaki, 44 tahun menuju ke Pantai Bungai.
“Kemalangan tersebut menyebabkan penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bekenu, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujarnya, kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian sebelah kanan, manakala motosikal pada bahagian hadapan.
Selain itu, katanya bagi kes kedua berlaku pada Isnin di Jalan Miri-Pujut melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda Civic dan pejalan kaki.
“Hasil siasatan mendapati kenderaan datang dari arah Boulevard ke arah Taman Tunku telah melanggar pejalan kaki yang tiba-tiba melintas jalan di hadapannya dan tidak sempat berhenti.
“Pelanggaran ini menyebabkan pejalan kaki mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan.
“Pemandu kenderaan ialah lelaki berusia 46 tahun dan pejalan kaki masih tidak dikenali identitinya,” jelasnya.
Katanya, pada hari yang sama, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Miri.
Tambahnya, pihak polis masih mengesan waris dan memohon kepada orang ramai sekiranya mengenali mangsa untuk menghubungi Balai Polis Trafik di talian 085-430479.
Justeru, berdasarkan kedua-kedua laporan ini, pihak polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



