BELAGA: Dua lelaki maut dalam satu kemalangan membabitkan dua buah lori di Simpang Sungai Asap, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.34 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga bersama-sama sebuah jentera LFRT digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 85 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi pada 10.04 pagi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan tanpa muatan dan sebuah lori lima tan yang membawa batu.
“Kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung dari arah bertentangan,” menurut kenyataan itu.
Kedua- dua mangsa dikenal pasti sebagai Ling Kwan Hian dan Nicholas Sigo, berusia 40 tahun, ditemui tersepit di dalam lori tiga tan.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menggunakan jentolak bagi mengalihkan lori yang terbalik sebelum mangsa berjaya dikeluarkan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu lori lima tan tidak berada di lokasi semasa ketibaan pasukan penyelamat,” tambah kenyataan itu.
Operasi tamat sepenuhnya pada 2.48 petang selepas semua tindakan penyelamatan dan penyerahan mangsa kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai dijalankan.







