MUKAH: Dua buah motosikal dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran yang melibatkan sebuah rumah kayu setingkat di Ladang 1 SPB Mukah 1, Jalan Selangau-Mukah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7.30 malam.
“Dalam kejadian tersebut, penghuni berada di rumah kedua telah mendengar anjing menyalak dengan kuat, menyebabkannya melihat melalui tingkap dan mendapati api sedang marak dari dapur rumah pertama.
“Tanpa membuang masa, dia terus mencari kunci kereta yang diparkir di bawah rumah pertama, namun tidak dapat membuat apa-apa kerana api sedang marak dengan laju hingga ke hadapan rumah,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Rizal, penghuni tersebut telah memanggil jiran lain bagi mendapatkan pertolongan, dan terus menghubungi talian 999 untuk memaklumkan perkara yang terjadi serta lokasi kejadian.
“Pihak Bomba dan Penyelamat Selangau tiba di lokasi lebih kurang 20 minit kerana jarak tempat kejadian dari Pasar Selangau lebih kurang 30 kilometer.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya lebih kurang jam 8.40 malam.
“Disebabkan kejadian itu, semua dokumen kenderaan yang musnah turut hangus dan terbakar, manakala harta benda dan dokumen yang lain belum dapat dipastikan,” katanya lagi.
Jelas Rizal, punca kebakaran belum dapat dikenal pasti, dan ia akan disiasat oleh Pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu.
Tambahnya, anggaran kerugian juga belum dapat dipastikan, dan mangsa yang terjejas akibat kebakaran tersebut akan tinggal di rumah kedua bersebelahannya.



