ARTIKEL

Cemerlang… Wakil Sarawak dari SMK Medamit yang akan ke Vietnam

Dua pasukan dari SMK Medamit terpilih wakili negara ke Vietnam untuk Kejohanan Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA)

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA).

Kejohanan antarabangsa itu akan berlangsung di Universiti Ekonomi Bandar Ho Chi Minh, Vietnam, bermula 25 hingga 28 April tahun ini.

Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dalam satu kenyataan berkata, kejayaan itu merupakan satu pencapaian besar yang dicapai menerusi program “Think and Thinker (T&T) Mini Lab”, iaitu inisiatif strategik yang dirangka khas untuk menerokai potensi sekolah luar bandar di Sarawak.

Usaha itu, katanya, sekali gus memupuk kreativiti, pemikiran kritikal dan inovasi dalam kalangan pelajar luar bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang, berkata pencapaian luar biasa itu menyerlahkan komitmen TEGAS dalam merapatkan jurang inovasi antara kawasan bandar dan luar bandar, serta membuktikan keberkesanan inisiatif pembangunan belia yang dilaksanakan secara bersasar.

“Pencapaian ini bukan sahaja kemenangan buat SMK Medamit, tetapi juga simbol kepada usaha kita melabur dalam memupuk minda muda tanpa mengira geografi.

“Di TEGAS, kita percaya bahawa bakat wujud di mana-mana, yang penting adalah menyediakan platform dan peluang,” katanya.

Tambahnya, kejayaan itu sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 yang menekankan pembangunan bakat inklusif dan pertumbuhan berasaskan inovasi di seluruh Sarawak.

Perjalanan SMK Medamit ke pentas antarabangsa bermula dengan kemenangan mereka dalam pertandingan T&T Mini Lab Battlefield yang diadakan di TEGAS Digital Village pada September 2024.

Kemajuan berterusan mereka mencerminkan kekuatan pelajar luar bandar Sarawak apabila diberi peluang dan platform yang sesuai.

TEGAS dalam kenyataan yang sama turut menzahirkan ucapan tahniah kepada para peserta dan semua yang telah menyumbang kepada perjalanan yang penuh inspirasi itu.

Kejayaan mereka menandakan satu lagi bab kebanggaan dalam misi TEGAS untuk menyokong inovasi, pendidikan dan pemerkasaan belia di seluruh Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU