SIBU: Dua pemuda dikenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap dan cermin pandang sisi sebuah kereta pelbagai guna (MPV) mewah.
Majistret Oon Kork Chern menjatuhkan hukuman terhadap Mohammad Aris, 31, dan Abang Muhd Syairazi, 25, yang didakwa melakukan khianat pada 29 Julai 2024, sekitar 4.30 petang, sehingga menyebabkan kerugian RM2,482.
Kedua-dua tertuduh dikenakan pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, kejadian bermula apabila pengadu menahan sebuah motosikal yang dinaiki dua remaja lelaki yang membuat pusingan ‘U’ secara bahaya, menyebabkan anak pengadu terhumban ke hadapan.
Selepas itu, pengadu menolak penunggang motosikal tanpa mencederakannya.
Kemarahan pembonceng motosikal itu membawa kepada kemunculan enam lelaki, termasuk kedua-dua tertuduh, yang menyerang pengadu sehingga pengadu mengalami kecederaan ringan.
Apabila polis tiba dan meleraikan pergaduhan, kumpulan lelaki terbabit cuba merosakkan kenderaan pengadu, memecahkan cermin tingkap dan cermin pandang sisi sebelum pengadu melarikan diri untuk membuat laporan di balai polis.

