ARTIKEL

Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah bersama pegawai dan anggota pada Perhimpunan Bulanan IPD Julau pada Rabu. IPD Julau.

Dua pengedar dicekup, jenayah Julau catat penurunan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

JULAU: Dua individu disyaki pengedar dadah berjaya ditahan oleh Polis Daerah Julau dalam usaha berterusan membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen pihak polis dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Menurut beliau, kedua-dua suspek lelaki berusia 30 tahun itu berasal dari Pakan.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan rampasan 17.28 gram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1,500,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan, beliau memaklumkan bahawa sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, IPD Julau melaksanakan pelbagai operasi berimpak tinggi yang menyumbang kepada penurunan kadar jenayah di daerah Julau dan Pakan.

Katanya, statistik menunjukkan jenayah indeks merekodkan 26 kes sepanjang tempoh tersebut berbanding 28 kes bagi tempoh sama pada tahun 2024, iaitu penurunan dua kes atau 7.14 peratus.

“Penurunan ini melibatkan kes curi serta kes mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, hasil kerjasama erat antara pihak polis dan komuniti setempat.

“Bagi jenayah harta benda pula, sebanyak 19 kes direkodkan sepanjang tahun 2025 berbanding 21 kes pada 2024, menunjukkan pengurangan dua kes atau 10.53 peratus,” katanya.

Untuk kategori jenayah kekerasan pula, beliau menjelaskan, jumlah kes kekal sebanyak tujuh kes bagi kedua-dua tahun tanpa sebarang peningkatan.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, kejayaan membanteras penyalahgunaan dadah mencatat peningkatan ketara apabila 29 tangkapan positif ujian air kencing direkodkan sepanjang 2025 berbanding 16 tangkapan pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 81.25 peratus.

Menurut beliau, kebanyakan kes melibatkan penyalahgunaan dadah jenis Methamphetamine atau syabu, yang masih menjadi ancaman utama kepada masyarakat.

Sepanjang tahun lalu katanya, sebanyak 32 kertas siasatan telah dibuka, dengan 23 daripadanya telah dituduh dan disabitkan hukuman, manakala lapan kes masih dalam proses mengesan suspek dan satu kes ditutup selepas keputusan ujian air kencing didapati negatif.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa fokus IPD Julau bagi tahun 2026 adalah mempergiat rondaan, meningkatkan operasi bersepadu, memperkukuh risikan serta memperluas kerjasama komuniti bagi membanteras kegiatan dadah dengan lebih berkesan. -TVS

BERITA LAIN

ASEAN perlu perkukuh kesiapsiagaan ancaman biologi

MIRI: Latihan simulasi rentas sempadan ASEAN perlu merangkumi senario ancaman biologi di luar jangkaan bagi menguji kesiapsiagaan negara anggota serta keupayaan agensi berkaitan menyelaraskan tindakan

BERITA TERBARU