ARTIKEL

Roslan Jomel antara penerima Anugerah S.E.A Write Award tahun 2024. | DBP

Dua penulis terkemuka Malaysia dinobat S.E.A Write Award

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penulis terkemuka Sarawak, Roslan Jomel, antara penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award) (Malaysia) untuk tahun 2024.

Roslan, 53 tahun, berasal dari Kuching merupakan seorang penulis prolifik yang dikenali melalui karya cerpen, novel dan esei yang berpengaruh serta mempunyai gagasan pemikiran yang segar dalam perkembangan sastera kontemporari Malaysia.

Penglibatannya yang konsisten dalam dunia kesusasteraan, sumbangannya sebagai pengkritik dan pengarang serta keaktifannya dalam wacana penulisan menjadikan beliau antara sosok penting dalam arena penulisan kreatif tanah air.

Hafizah Iszahanid penerima Anugerah S.E.A Write Award tahun 2025. | DBP

Sementara itu, penerima anugerah yang sama untuk tahun ini ialah Hafizah Iszahanid yang berasal dari Chemor, Perak.

Beliau merupakan seorang penulis, editor, wartawan budaya dan penggiat sastera tanah air yang aktif dalam penulisan kreatif serta wacana kesusasteraan Malaysia.

Gaya penulisannya yang teliti, berwibawa dan berwawasan serta sumbangan aktifnya dalam memajukan kegiatan penulisan, budaya dan persuratan Malaysia melayakkan beliau menerima pengiktirafan ini.

Majlis pengurniaan Anugerah Penulisan Asia Tenggara bagi kedua-dua penerima itu dijadualkan berlangsung pada 16 Disember 2025 di Bangkok, Thailand.

Anugerah tersebut akan disampaikan oleh Puteri Raja Thailand Maha Vajiralongkorn, Puteri Srivannari Nariratana Rajakanya.

Penerima akan menerima honorarium serta plak penghargaan daripada pihak penganjur sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam dunia persuratan.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, dalam sidang media pengumuman penerima berkata, anugerah tersebut ialah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan yang diwujudkan sejak tahun 1979 oleh Kerajaan Thailand untuk tokoh negara rantau ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Objektif penganjuran anugerah ini mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang luas tentang kekayaan sastera dalam kalangan penulis Asia Tenggara di samping memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada bakat kesusasteraan penulis kreatif negara Asia Tenggara.

“Ia menghimpun, mempromosi dan mengetengahkan penulis Asia Tenggara yang berbakat besar ke peringkat rantau dan antarabangsa dalam satu program yang berprestij,” katanya pada sidang media pengumuman S.E.A Write Award Tahun 2024 dan 2025 di Anjung DBP, Menara DBP, Kuala Lumpur hari ini.

Dr Hazami berkata, DBP menerima sebanyak 23 pencalonan bagi tahun 2024 dan 2025 dengan proses pencalonan dibuka pada 31 Julai lalu dan ditutup pada 10 Ogos 2025.

Beliau menekankan kriteria pemilihan calon bagi anugerah ini ialah Penghargaan dan Pengiktirafan (60 peratus), Prolifik dan Tekal (20 peratus), Ketokohan dan Pemikiran (10 peratus) dan Komitmen Kegiatan dalam Pengembangan Sastera Kebangsaan (10 peratus).

Menurutnya, DBP menerima surat pengesahan daripada pihak penganjur pada 10 November 2025 yang mengesahkan Roslan Jomel sebagai penerima bagi tahun 2024, dan Hafizah Iszahanid bagi tahun 2025.

Beliau mengucapkan tahniah kepada kedua-dua penerima dan berharap kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada penulis Malaysia untuk terus menghasilkan karya bermutu tinggi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU