KUCHING: Dua premis makanan terkenal di Jalan Pending di sini diarahkan tutup selepas bahagian dapurnya didapati tercemar dengan urungan lipas.
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Sabri Sahari berkata tempoh penutupan diberikan selama dua minggu untuk pengusaha kedua-dua premis tersebut melakukan pembersihan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua premis berkenaan mendapati tahap kebersihannya sangat rendah,” katanya ketika ditemu-bual selepas Operasi Bersepadu yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching dan Jabatan Imigresen ke atas kedua-dua premis makanan itu sebentar tadi.
Menjelas lanjut, beliau berkata dalam operasi ke atas premis pertama, selain tahap kebersihan rendah, dua pekerjanya iaitu lelaki dan perempuan warga Indonesia turut ditahan oleh Jabatan Imigresen kerana didapati tidak mempunyai permit.

“Kalau tidak ada permit maksudnya pekerja itu tidak ada mengikuti kursus pengendalian makanan dan menjalani pemeriksaan kesihatan, ini menjadi satu kesalahan,” katanya.
Manakala, katanya hasil pemeriksaan ke atas premis kedua pula, kesemua pekerjanya mempunyai permit dan telah menjalani kursus pengendali makanan tetapi tahap kebersihannya sangat teruk, dengan banyak urungan lipas ditemukan di bawah meja bahkan di dalam peti sejuk di bahagian dapur.

“Ada dua makhluk yang kita tidak boleh lihat iaitu lipas dan tikus…kalau ada dua makhluk ini, kita akan terus menutup premis yang terbabit kerana ia menunjukkan betapa kotornya kedai itu,” katanya.
Selain itu, Sabri berkata kedua-dua premis makanan terbabit turut dikenakan kompaun berdasarkan kesalahan yang dilakukan, dengan kadar antara RM500 hingga RM2,500.
Menurutnya, setakat ini Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching telah mengenakan tindakan penutupan ke atas lebih 60 premis makanan kerana dicemari urungan tikus dan lipas.
“Kami akan menjalankan operasi pada setiap masa di dalam kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bagi memastikan tahap kebersihatan premis makanan di Kuching pada tahap optima,” katanya.



