SARATOK: Dua lagi projek menaik taraf jalan pertanian di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka kini siap sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk rumah panjang di Entebu, Saratok dan Metong, Roban.
Projek berkenaan direalisasikan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) berjumlah RM377,670 bagi meningkatkan kemudahan perhubungan serta memudahkan penduduk membawa keluar hasil pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penambahbaikan jalan pertanian penting kerana ia menjadi antara akses utama penduduk luar bandar untuk mengangkut dan memasarkan hasil tanaman.
“Seperti jalan yang kita gunakan setiap hari, jalan-jalan pertanian juga perlu ditambah baik kerana ia merupakan akses utama penduduk untuk membawa keluar hasil pertanian, sekali gus membantu meningkatkan kegiatan ekonomi mereka.
“Syukur, dengan peruntukan BDDA sebanyak RM377,670, penduduk di Entebu, Saratok dan Metong, Roban kini dapat menikmati akses jalan yang lebih selesa dan selamat,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau terdahulu menyaksikan penyerahan projek siap oleh kontraktor kepada penduduk kampung.
Menurutnya, projek berkenaan turut menjadi satu pencapaian penting bagi penduduk Rumah Panjang Anau, David dan Bangsa di Entebu, yang telah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf jalan pertanian serta jalan menuju ke kawasan tapak perkuburan pada 2025.
“Di Entebu, peruntukan sebanyak RM212,310 digunakan untuk menaik taraf jalan pertanian dan jalan menuju ke kawasan tapak perkuburan.
“Sementara itu, projek di kawasan Rumah Panjang Lim Sabang, Metong, Daerah Kecil Roban, bernilai RM165,360 dan telah siap sepenuhnya.
“Program serahan projek siap turut diadakan bersama Jabatan Pertanian Bahagian Betong selaku agensi pelaksana serta pihak kontraktor,” ujarnya.
Mohamad berkata, penambahbaikan infrastruktur tersebut diyakini dapat memberi kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada pekebun, khususnya pekebun kelapa sawit, dalam mengangkut dan memasarkan hasil tanaman mereka.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada BDDA, Jabatan Pertanian Bahagian Betong serta pihak kontraktor atas usaha memastikan projek berkenaan dapat disiapkan dan dimanfaatkan penduduk.
Beliau menambah, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan keperluan asas serta infrastruktur di kawasan luar bandar terus diberi perhatian.
“Selepas ini, banyak lagi projek akan dinikmati rakyat.
“Di DUN Kalaka, selain BDDA, kita juga mempunyai projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP), selain peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Ekonomi yang turut membantu mengubah landskap pembangunan luar bandar.
“Sehubungan itu, setiap kawasan sama ada kampung, rumah panjang mahupun taman perumahan akan merasai impak pembangunan. Insya-Allah,” katanya.





