ARTIKEL

Kedua-dua tertuduh bersama-sama peguam bela lega selepas perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuching, hari ini.

Dua rakan lepas, bebas tuduhan bunuh lelaki di Serian lima tahun lepas

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua orang rakan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki berusia 27 tahun, lima tahun lalu.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab memerintahkan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pesalah muda yang kini berusia 20 tahun dan 21 tahun.

Dalam penghakimannya, Dr Alwi berkata, mahkamah mendapati kelemahan, percanggahan dan tidak layak dikreditkan keterangan salah seorang saksi pendakwaan.

“Mahkamah memutuskan bahawa siasatan tidak dijalankan secara meluas dan saksi tersebut mengaku bahawa si mati telah terbaring di atas jalan raya sebelum tertuduh pertama (21 tahun) melanggarnya menggunakan sebuah motosikal tanpa sengaja yang turut menyebabkan tertuduh sendiri mengalami cedera.

“Oleh itu, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi tersebut sahaja tanpa pengesahan,” katanya.

Oleh hal demikian, mahkamah memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri di akhir kes pendakwaan hari ini.

Sepanjang perbicaraan, seramai 20 orang saksi telah dipanggil.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 16 tahun dan 17 tahun ketika kejadian didakwa secara bersama-sama dengan niat melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di tengah jalan antara Kampung Resak dan Kampung Diang, Serian, sekitar jam 2.45 pagi hingga 3.50 pagi, 22 September 2019.

Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin, manakala tertuduh pertama diwakili peguam Lim Lian Kee, dan tertuduh kedua diwakili peguam Osman Ibrahim, Nur Atiqah Kulah dan Ernie Natasha Azman.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU