Dua sekolah di Dalat cemerlang

MUKAH: Kepimpinan sekolah dan komitmen guru dalam pendidikan menjadi faktor penyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia merupakan faktor kecemerlangan selain sokongan padu ibu bapa dan komuniti setempat dalam membantu pihak sekolah.

Untuk itu, beliau yang juga Adun Dalat berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada dua Sekolah Cemerlang UPSR 2019 iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Teh dan SK Kampung Klid.

SK Kampung Teh berjaya mencatatkan keputusan 100 peratus lulus dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 3.15 manakala SK Kampung Klid mencatatkan GPS 2.07.  Dua sekolah tersebut turut cemerlang dalam Pencapaian Mata Pelajaran Terbaik UPSR 2019 untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dengan Gred Purata Mata Pelajaran masing-masing 1.71 dan 1.86.

Dua sekolah di kawasan Dun 56 Dalat telah dianugerahkan sebagai Sekolah Cemerlang UPSR 2019 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak pada 1 Julai lepas yang diadakan di Kuching. Guru Besar SK Kampung Klid Latip Abu Bakar berkata, pelajar gigih berusaha membuat latihan secara berkumpulan ketika kelas bimbingan.

“Guru telah merancang pelbagai program peningkatan akademik melalui sesi Dialog Prestasi, Panitia mahupun menitikberatkan analisis pencapaian daripada keputusan ujian jejak prestasi dan menyusun Program Intervensi bersesuaian kepada calon yang belum mencapai Gred A.

“Selaku pemimpin instruksional di peringkat sekolah, saya sangat bangga dan amat menghargai usaha gigih guru yang tanpa jemu meneruskan momentum transformasi dalam pendidikan untuk membangun modal insan abad ke-21,” ujarnya.

Latip memberitahu, ia selaras dengan pemilihan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) SK Kampung Klid Plajau sebagai salah sebuah Sekolah Transformasi 2025 (TS25) bagi kohort lima Peringkat Negeri Sarawak.

Dalam hal berkaitan, SK Kampung Teh, Oya mencapai rekod 100 peratus lulus dalam UPSR dan mempunyai pelajar cemerlang (semua A) setiap tahun dengan membudayakan sekolah sebagai institut ilmu yang mengutamakan pendidikan.

Guru Besar SK Kampung Teh, Oya Dahlan Pamuda berkata, ia merupakan usaha ibu bapa melalui PIBG yang memantau kemenjadian murid dalam pembelajaran di luar kawasan sekolah.

“Seterusnya kerjasama dengan komuniti pendidikan luar dalam memantapkan kecemerlangan murid di sekolah,” katanya.

Beliau turut berterima kasih atas penghargaan dan sumbangan terutamanya daripada Fatimah, komuniti kampung dan warga sekolah dalam merealisasikan pendidikan sebagai asas kemenjadian anak-anak SK Kampung Teh.

Fatimah turut menyampaikan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Adun Dalat kepada PIBG SK Kampung Teh, Oya dan PIBG SK Kamung Klid Plajau.

Suara Sarawak